shahbudindotcom
Dalam
risik-risik di kalangan pimpinan UMNO dan kerajaan, ramai yang yang
masih tidak jelas bilakah Abdul Rahman Dahlan yang juga Menteri
Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, mula dilantik
sebagai Pengarah Komunikasi Strategik BN dan apakah fungsi sebenar
jawatan tersebut?
Apakah ia bermakna selepas ini semua perkara mengenai BN, hanya beliau saja yang lebih layak bercakap kepada pihak media?
Ramai
yang mengatakan mereka hanya mengetahui perlantikan dan kewujudan
jawatan tersebut apabila Abdul Rahman sendiri menyebut beliau memegang
jawatan itu dalam kenyataan akhbarnya mengenai Sarawak Report, baru-baru
ini.
Susulannya,
kebelakangan ini Abdul Rahman turut lebih banyak bercakap mengenai 1MDB
dan mempertahankan Perdana Menteri, Najib Razak daripada pelbagai
serangan mengenai syarikat pelaburan kerajaan yang bermasalah dan sarat
dengan hutang itu.
Sehari
dua ini, beliaulah yang kelihatan lebih ke depan bercakap mengenai
1MDB, terutama dalam isu berkaitan Sarawak Report dan kes Xavier Justo,
bekas Pengarah Petro Saudi International yang didakwa bertemu dengan
beberapa tokoh politik Malaysia dan taikun media di Singapura untuk
menjual maklumat yang ada dalam tangannya.
Apakah
peranan Abdul Rahman dengan jawatan barunya ini sekadar untuk
mempertahankan Najib dan kerajaan atau beliau sebetulnya ada peranan
yang lebih luas daripada itu?
Dalam
kerajaan, beliau hanyalah menteri junior yang baru dilantik
menganggotai kabinet selepas pilihanraya 2013 lalu. Sebelum ini, beliau
pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Musa Aman
dan Penolong Setiausaha Pemuda UMNO ketika pergerakan itu dipimpin oleh
sepupu Najib, Hishammuddin Hussein.
Abdul
Rahman diketahui tidak sealiran dengan Naib Presiden UMNO, Shafie Apdal
yang sejak kebelakangan ini agak kritikal dan berbeza pendapat dengan
Najib berkaitan 1MDB. Dalam masa yang sama diketahui umum juga, Shafie
tidak sealiran dengan Musa Aman yang pernah menjadi "boss" Abdul Rahman
suatu ketika dahulu.
Apabila
Shafie menyatakan anggota kabinet tidak jelas mengenai banyak perkara
tentang 1MDB kerana tidak pernah dimaklumkan mengenainya, Abdul Rahman
lantas menyanggahnya dengan menunjukkan buku laporan "1MDB Fact Sheet"
yang diedarkan kepada setiap anggota kabinet.
Beliau
juga cuba "memalukan" Shafie bahawa anggota kabinet akan lebih
memahami tentang 1MDB jika membaca buku tersebut, selain mengatakan
Menteri Kewangan Kedua, Husni Hanadzlah turut kerap memberi taklimat
mengenainya.
Dengan
berjawatan menteri dan dilantik pula sebagai Pengarah Komunikasi
Strategik BN, tidak dinafikan bahawa Abdul Rahman ada peranannya yang
tersendiri. Oleh kerana Shafie Apdal adalah penyokong lama Najib yang
sudah beralih angin ketika ini, Abdul Rahman adalah "hujung tombak" baru
untuk mengikis pengaruh dan seterusnya "membunuh" Naib Presiden UMNO
itu daripada terus berada dalam hireaki parti.
Pengaruh
Shafie juga mungkin dikurangkan melalui peranan langsung daripada Najib
sendiri dengan menukarkannya ke kementerian lain yang kurang penting
dalam rombakan kabinet yang dijangka diadakan dalam tempoh terdekat ini.
Walaupun
masih terlalu awal dan belum layak sebenarnya untuk Abdul Rahman masuk
gelanggang pertandingan Naib Presiden UMNO dan sejauh mana beliau mampu
memainkan peranan itu juga boleh diragui, tetapi tindakan Najib
memberikannya lebih peranan dan tanggungjawab, tentu saja boleh
menyusahkan Shafie untuk mengekalkan jawatannya dalam pemilihan UMNO
akan datang.
Melalui
peranan yang sedang dimainkan oleh Abdul Rahman sebagai "hujung tombak"
itu, "hulu tombaknya" bukan saja dipegang oleh Najib, tetapi juga
dikongsi bersama oleh Hishammuddin dan Musa Aman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan