Selasa, 21 Julai 2015

Rafizi dedah taktik UMNO cuba tutup skandal 1MDB

 
Taktik itu dimainkan saban hari di media utama untuk meyakinkan anggota UMNO sebenarnya skandal 1MDB ini tidak wujud dan hanya rekaan semata-mata.


Rafidah-Aziz_umno_1mdb_600



PETALING JAYA: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendedahkan dua taktik tersusun UMNO yang didakwanya sebagai cubaan untuk menutup skandal 1MDB.

Katanya, taktik pertama dengan mengalih perhatian rakyat kepada kononnya bukti-bukti yang ditunjukkan terutamanya melalui media seperti Sarawak Report dan The Edge mengenai skandal 1MDB setakat ini adalah palsu dengan menyabitkannya dengan Xavier Justo, bekas eksekutif 1MDB.

Taktik kedua pula katanya, memfitnah pimpinan pembangkang termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tony Pua dan dirinya konon mereka menjadi dalang yang mereka-reka skandal ini untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Rafizi berkata, kedua-dua taktik itu dimainkan saban hari di media utama untuk meyakinkan anggota UMNO sebenarnya skandal 1MDB ini tidak wujud dan hanya rekaan semata-mata.

“Saya sedikit pun tidak rasa tergugat. Kalau pun ada lagi rakyat Malaysia yang percaya dengan dongeng bahawa skandal 1MDB ini rekaan pembangkang, ini hanyalah saki baki anggota UMNO yang tidak akan bangun tersedar hatta sekiranya negara ini jatuh muflis sekali pun,” katanya dalam kenyataan media.

Dia yang juga Setiausaha Agung PKR berkata, sehingga kini, Perdana Menteri masih belum dapat menjelaskan beberapa isu besar iaitu;
  1. Ke mana dana RM42 bilion yang diambil oleh 1MDB sehinggakan 1MDB tidak mampu membayar faedah ke atas hutang-hutangnya?
  2. Kenapa wang 1MDB sebanyak USD1.83 bilion dipindahkan ke individu-individu tertentu berkaitan dengan PetroSaudi dan Jho Low seperti yang didedahkan oleh akhbar The Edge pada 20 Julai 2015?
  3. Kenapa dan bagaimana dana yang dipercayai berasal dari 1MDB sebanyak RM2.6 bilion dipindahkan ke akaun peribadi Najib?
Rafizi berkata, soalan-soalan mudah itu jika tidak dijawab akan menguatkan kepercayaan rakyat bahawa ada tangan yang menggunakan 1MDB untuk kesenangan peribadi.

“Sebab itu taktik-taktik menghalang capaian ke laman web Sarawak Report, mengkambing hitamkan saya dan Tony Pua serta taktik-taktik lapuk sebenarnya akan membantu membenamkan UMNO/Barisan Nasional dalam PRU14.

“Saya sebenarnya berasa gembira dengan reaksi dan tingkah laku pimpinan Umno/Barisan Nasional yang masih cuba menutup skandal 1MDB dengan memfitnah saya, Anwar Ibrahim, Tony Pua, Sarawak Report, The Edge dan lain-lain.

“Reaksi sebeginilah yang menimbulkan kebencian rakyat terhadap UMNO/Barisan Nasional yang akan membolehkan pembangkang menang dalam PRU14 kelak.

“Jadi saya galakkan Perdana Menteri untuk terus menggunakan taktik ini kerana saban hari ia melunturkan keyakinan rakyat terhadap UMNO/Barisan Nasional,” katanya.

Tiada ulasan: