Sabtu, 25 Julai 2015

Profesor Case memerli Najib

Adam A Kadir
Adam A Kadir
 
 
SINISME ialah satu seni bercakap, menulis dan menutur dengan bahasa badan (body language). Contohnya: Satu: Halim berkata: “Kawan kita Mat ini dah banyak duit… duit jatuh dari langit!” Untuk tidak berpanjangan, Mat menjawab, "Yalah tu.”

Dua: “Prestasi pasukan Malaysia adalah paling mengagumkan. Dulu kalah 2-0 dengan Thailand. Malam tadi kalah 5-0. Satu potensi cemerlang bagi pasukan Malaysia,” sebuah akhbar menulis di halaman sukannya.

Tiga: Dia membisu, tetapi memberikan senyuman sinis (bibirnya senget dan keningnya terangkat).

Itulah tiga jenis sinisme. Baru-baru ini seorang pensyarah bernama William Case di City Unversity Hong Kong telah mempamerkan satu sinisme yang bukan kepalang dalam rancangan Squawk Box di saluran TV CNBC.

Beliau tidak menafikan kata-kata hos rancangan itu bahawa 700 juta dolar dimasukkan ke dalam akaun Najib, dengan menambah bahawa wang itu ialah untuk perbelanjaan pilihan raya 2013.

Selepas itu akaun itu ditutup. Tidak boleh dinafikan juga wujudnya skandal 1MDB dan pembelian kapal selam, tetapi itu semuanya tidak menjadi apa-apa selagi Najib mendapat sokongan daripada keahlian Umno. Pun begitu, memang Umno ialah parti penaung.

Katanya, orang masuk Umno bukan saja untuk menjadi ahli tetapi juga untuk untuk mengisi saku mereka. Begitulah keadaannya sejak Umno berkuasa dari tahun merdeka 1957. Case dapati tidak siapa yang boleh menggantikan Najib di Malaysia.

Dia bergaya, bertokoh antarabangsa dan sofistikated. Dia banyak duit untuk berlawan dalam pilihan raya. Beliau tidak nampak Najib tergugat dan akan hilang jawatannya dalam masa yang boleh dijangkakan.

Cuba sisihkan antara fakta dan kesimpulan di atas, dan kita akan dapati bahawa fakta yang terdedah itu bukan sesuatu yang boleh membantu dalam pertimbangan etika, peraturan dan undang-undang – tentunya bukan satu perakuan baik untuk Najib. Malang sekali!

Case mengiakan perkara-perkara yang negatif tetapi membuat kesimpulan seolah-olah ia positif. Soal ganti-mengganti PM bukan seperti yang diwajarkan beliau. Perbilangan Melayu ‘patah tumbuh hilang berganti’ sentiasa bermain di bibir, seperti juga ‘nobody is indispensable’ dalam bahasa Inggeris. Malaysia tidak runtuh apabila Tun Razak digantikan oleh Tun Hussein Onn walaupun perbezaan rekod kewibawaan, prestasi dan pengalaman antara mereka berdua begitu ketara sekali.  

Meskipun diucapkan dengan wajah bersahaja, namun Case menggunakan sinisme yang paling halus dan tinggi. Dipercayai Bank Negara Malaysia (BNM) menjalankan tanggungjawabnya mengesan kemasukan wang 700 juta dolar itu, tetapi menjadi tanggungjawabnya juga untuk mengetahui dari mana wang itu datang; dan apakah ia sudah dibersihkan.

Sebagai profesor di Pusat Penyelidikan Asia Tenggara di universiti itu, tugasnya yang utama ialah menyelidik segala aspek pergerakan wang itu. Apa, kenapa, bagaimana? Kerja menyelidik ialah tugasnya 100 peratus. Kurang daripada itu, beliau kandas dalam tugasnya.

Dan jika beliau hanya bertutur untuk dunia berdasarkan pandangan kulit-kulitan, maka beliau sayugia dimasukkan dalam kategori profesor yang medioker. Justeru, beliau tidak boleh menolong Najib sewajarnya.

Bayangkan kalau kata-kata beliau itu diucapkan untuk audiens di AS dan UK. Tidakkah ia menjadi sesuatu yang dimomokkan? Berkemungkinan besar pula beliau didapati tidak layak untuk mendapat liputan begitu di sana.

Rata-rata profesor terkemuka di AS dan UK ditemu bual di TV perdana terdiri daripada mereka yang berwibawa dan menjadi ahli fakulti di universiti-universiti cemerlang, antaranya Harvard, Columbia dan Cornell di AS atau Cambridge, Oxford dan University of London di UK, walaupun berlaku kekecualian.

Mereka enggan untuk berhijrah ke tempat-tempat seperti Hong Kong. Mereka hanya berminat untuk berkunjung dan memberikan syarahan di sana untuk jangka waktu terhad saja. Saya lebih cenderung untuk berkata bahawa Case sengaja menempelak (insult) kecerdikan kita dengan menggunakan senjata sinisme.              

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat

Tiada ulasan: