Isnin, 20 Julai 2015

PKR enggan campur tangan masalah dalaman PAS [KEMASKINI]

 Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PKR tidak akan campur tangan soal dalaman PAS yang semakin meruncing sejak muktahir ini, demikian ditegaskan Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali.
 
Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, beliau yakin segala kemelut dalaman melibatkan PAS sekarang akan dapat diselesaikan secara baik.
 
"Saya tidak pernah mencampuri urusan dalaman parti-parti yang lain.
 
"Saya percaya dengan kebijaksanaan kepimpinan bahawa perkara ini boleh diselesaikan dengan baik dan yang penting pemimpin mesti bersatu hati untuk meneruskan perjuangan dalam kerangka besar dan dasar-dasar yang dapat mermatabatkan rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Selangor 2015, sebentar tadi. 
 
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kemelut yang melanda PAS, berikutan pemimpin progresif parti berkenaan melancarkan sebuah parti baru yang dikenali sebagai Gerakan Harapan Baru (GHB), Isnin lalu.
 
Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli menyatakan sokongan secara terbuka terhadap penubuhan parti baru itu sambil mengalukan iltizam GHB untuk terus berjuang menentang Umno-BN.
 
Ujar Rafizi, sokongan tersebut dibuat berdasarkan rekod mereka yang menyertai GHB adalah daripada Ahli-ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang teruji menentang Umno-Barisan Nasional (BN).
 
GHB dipengerusikan bekas timbalan presiden parti itu, Mohamad Sabu, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu.
 
Ahli jawatankuasa sementaranya terdiri daripada bekas pemimpin parti itu yang tersingkir pada pemilihan awal bulan Jun, antaranya termasuk bekas naib presiden Salahuddin Ayub, AJK PAS Pusat Khalid Samad, Dr Mohd Hatta Ramli dan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa serta bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib.
 
Kenyataan Rafizi mendapat kecaman Ahli Jawatankuasa PAS, Zaharudin Mohamad yang menyifatkan Setiausaha Agung PKR itu sebagai kurang ajar kerana mencampuri urusan dalaman parti Islam itu.
 
Menantu kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu marah kerana Rafizi menyokong GHB walaupun majoritinya masih ahli parti Islam itu.
 
"Rafizi jangan campur urusan PAS. Nampak Rafizi ni gelojoh seperti orang terkencing sebelum sampai tandas,” katanya.
 
“Selagi Gerakan Harapan Baru belum keluar PAS dan belum bercerai rasmi, maka kenyataan Rafizi saya anggap campur tangan dan kurang ajar," petik kata Zaharudin kelmarin.
 
Zaharudin juga merupakan ketua unit hal ehwal agama Kumpulan Perangsang Selangor, sebuah syarikat kerajaan negeri.
 
Menurutnya, jika GHB sedang tarik ahli PKR menyertainya, tiada masalah untuk Rafizi membuat kenyataan terbuka seperti itu.
 
"Tetapi sekarang GHB sedang giat tarik ahli PAS menyertainya bukan PKR atau Umno," kata Zaharudin melalui Facebook beliau.
 
Beliau mengulas kenyataan Rafizi yang menyokong GHB dan akan menyertai jelajah seluruh negara.
 
 
 

Tiada ulasan: