Selasa, 14 Julai 2015

Petugas khas, mencari kebenaran atau membersihkan nama?



Oleh Shahbudin Husin 


Pasukan petugas khas yang dianggotai oleh empat agensi iaitu PDRM, SPRM, Bank Negara dan Jabatan Peguam Negara bagi menyiasat dakwaan pengaliran masuk wang 1MDB berjumlah RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, sedang menjadi tumpuan seluruh negara ketika ini.

Semua ingin mengetahui apakah hasil siasatan mereka nanti? Apakah kebenaran yang sebenar-benarnya akan didedahkan kepada umum atau akhirnya hanya nama Perdana Menteri yang disucibersihkan oleh pasukan itu?

Menimbulkan lebih keghairahan ramai untuk mengetahuinya ialah berikutan dua akaun bank milik Datuk Seri Najib Razak sebagaimana yang didakwa oleh The Wall Street Journal (WSJ) itu didapati benar-benar wujud oleh pasukan petugas khas, tetapi sudah ditutup pada 30 Ogos 2013 dan 9 Mac 2015 lalu.

Persoalan lanjutannya tentu saja mengapa akaun  itu ditutup? Apakah bertujuan untuk mengelakkan dikesan? Adakah ia ditutup kerana wangnya sudah dipindahkan atau telah habis dibelanjakan?

Oleh kerana dokumen daripada akaun yang sudah ditutup itu turut diambil oleh pasukan petugas khas, menarik juga untuk diketahui ialah bagaimana wang itu dibelanjakan? Adakah untuk peribadi, mengurus parti, belanja pilihanraya atau lain-lain keperluan?

Selain itu, pasukan petugas mengumumkan sudah membekukan enam akaun bank lain serta mengambil sejumlah dokumen untuk penelitian dan siasatan.

Merangsang lagi keinginan orangramai ialah berikutan pengakuan Datin Seri Rosmah Mansor terhadap dakwaan terbaru Sarawak Report mengenai akaun bank miliknya yang baru-baru ini didakwa menerima deposit berjumlah RM2 juta dalam tempoh antara 10 Februari hingga 23 April 2015 lalu.

Pasukan petugas khas kemudiannya mengakui tahu lebih awal mengenai kewujudan akaun bank isteri Perdana Menteri itu sebelum ia didedahkan oleh Sarawak Report.

Tentunya lebih menarik untuk diketahui ialah daripada manakah datangnya wang itu dan adakah ia berkaitan dengan wang didakwa disalurkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib sebelum ini?

Berapakah pula jumlah keseluruhan wang yang ada dalam akaun Datin Seri Rosmah tersebut dan adakah beliau mempunyai akaun di bank-bank yang lain juga?

Oleh kerana sehingga ini Datuk Seri Najib masih membisu mengenai wang dan akaun bank yang didakwa miliknya itu serta bagaimana ia dibelanjakan, pasukan petugas khas ini adalah harapan rakyat untuk mengetahui penutup cerita sebenarnya.

Namun demikian, dengan perjalanan masa, kebimbangan orangramai sedikit demi sedikit mula bercambah berikutan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang nampaknya lebih ghairah untuk mencari dan menjejaki siapa pembocor maklumat kepada WSJ berbanding kedudukan wang yang dikaitkan dengan Perdana Menteri itu.

Ia seperti menampakkan pihak polis hanya ingin membersihkan nama Perdana Menteri di sebalik dakwaan yang dilontarkan oleh WSJ dan Sarawak Report yang menjadi perhatian seluruh dunia ketika ini.

Kebimbangan lain ialah kerana SPRM dan Jabatan Peguam Negara terletak dibawah bidang kuasa serta melaporkan tugasnya kepada Perdana Menteri manakala Bank Negara pula dibawah Kementerian Kewangan dan kedua-dua jawatan itu disandang oleh Datuk Seri Najib yang  merupakan orang yang sedang disiasat sama ada melakukan kesalahan atau sebaliknya.

Mampukah mereka bersikap profesional demi rakyat serta negara dan benar-benar takut kepada Tuhan dalam menegakkan keadilan dan kebenaran?

Tidak saja orangramai dan pemimpin-pemimpin pembangkang yang meluahkan kebimbangan itu, malah bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Musa Hitam turut berkongsi perasaan yang sama.

Semuanya bersetuju bahawa Datuk Seri Najib perlu bercuti untuk sementara waktu bagi membebaskan dirinya daripada menjadi naungan kepada pasukan petugas yang sedang menjalankan siasatan terhadapnya.

Dengan langkah bercuti itu, apa saja hasil siasatan pasukan petugas itu akan menjadi lebih berwibawa dan mendatangkan keyakinan kepada orangramai berbanding sebaliknya.

Jika Datuk Seri Najib terus keberatan untuk berbuat demikian, seharusnya kabinet yang bertanggungjawab kepada kerajaan dan Majlis Tertinggi UMNO yang menunjangi parti, wajar mengambil tanggungjawab itu demi kebaikan kepada rakyat dan negara.

Malangnya pula, sehingga ini kabinet dan MT UMNO lebih merasakan kedudukan Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri lebih mustahak untuk dipertahankan daripada kepentingan rakyat dan masa depan negara. - See more at: http://bm.theantdaily.com

Tiada ulasan: