Khamis, 9 Julai 2015

Perihal tidak masuk akal


Oleh Subky Latif


DATUK Dr. Haron Din, Mursyidul Am PAS telah membuat komen yang amat cerdik dan menggelikan terhadap tindakan Perdana Menteri Najib memasukkan wang daripada 1MDB sejumlah RM2.6 bilion ke dalam akaun bank pribadinya.
  
Komennya kira-kira suatu yang tidak masuk akal.Hingga Perdana Menteri tidak terasa dan tidak tersinggung dengan komen yang tajam yang boleh ditafsirkan berbagai.

Betapa benar duit itu dimasukkan PM Najib ke dalam akaun peribadinya seperti yang dilaporkan oleh media The World Street Journal dipercayai tidak syak benarnya. Bantahan golongan pro-Najib atas siaran itu ialah komen dan dakwaan akhbar itu.
    
Jika kerani atau mana-mana pegawai didapati memasukkan beberapa ringgit saja dalam simpanan atau lambat memasukkannya ke akaun sepatutnya boleh jadi satu jenayah pecah amanah, apa lagilah sejumlah wang milik negara yang tidak terhingga banyaknya dimasukkan ke akaun peribadi.
    
Kejadian seperti itu tidak masuk akal boleh dilakukan oleh seorang Perdana Menteri atas apa sebab dan tujuan sekalipun. Bahkan yang tahu pecah amanah adalah satu kesalahan tetapi melakukannya juga atas apa alasan jua adalah tidak masuk akal dilakukannya.
    
Apabila Najib dikatakan berbuat begitu, maka komen Dr. Haron Din ia suatu yang tidak masuk akal hingga Najib sendiri terasa lapang dengan komen itu seolah-olah pemimpin PAS itu tidak berkata buruk tentangnya, sedang keduanya adalah seteru politik.
    
Tetapi setelah diamati komen itu adalah satu sindirian yang tajam. Memang tidak masuk akal Perdana Menteri boleh buat begitu. Kerana seorang Perdana Menteri sepatutnya tidak wajar berbuat begitu justeru ia adalah satu kesalahan. Tetapi jika Perdana Menteri berbuat begitu atas apa sebab jua, adalah tidak masuk akal Perdana Menteri sanggup buat begitu.
    
Komen pertama menyebabkan Najib jadi macam wanita Mesir yang memegang pisau tajam dan buah epal melihat Nabi Yusuf, tidak terasa pedih terpotong jari sendiri. Tajamnya sindiran itu tidak terasa ia ditujukan kepadanya.
    
Kedua ia ibarat gergaji dua mata, disorong makan dan ditarik pun makan. Komen itu boleh dikatakan tidak menyindir oleh setengah orang dan boleh juga dikira menyindir oleh setengah orang yang lain.
    
Apapun perkembangan politik sekarang semuanya sudah tidak masuk akal. Komen Peguam Negara Gani Patail atas hal itu ialah dia telah melihat hal itu dan membenarkan ia terus disiasat. Biasanya Peguam Negara dilihat sebagai pelindung siapa saja Perdana Menteri dan kerajaan. Payah kemungkinan ketua kerajaan dapat disiasat.
     
Apabila perihal yang melibatkan Perdana Menteri boleh pula disiasat, ada yang terasa ia seolah-olah tidak masuk akal juga. Yang masuk akal PM tidak akan disiasat.
     
Segala yang terjadi tentang 1MDB yang Najib adalah penguasa penuhnya adalah benda yang tidak masuk akal. Tabung Haji beli tanah TRX dengan harga yang tinggi adalah tidak masuk akal. Mengangkat Azeez Rahim sebagai Pengurusi  Tabung Haji juga tidak masuk akal. Yang masuk akal dia layak jadi duta dalam semua bencana alam di seluruh dunia.
   
Dulu seperti tidak masuk akal bahawa Dr. Mahahir itu adalah pemimpin Umno yang serba betul. Tetapi sekarang tidak masuk akal apabila rata-rata orang Umno kata Dr. Mahahir tidak betul.
     
Sejak jadi menteri hingga jadi Perdana Menteri banyaklah tindakannya seperti tidak masuk akal. Apabila Dr. Haron Din  komen tidak masuk akal tentang masalah yang Najib hadapi itu, adakah tidak ia menggambarkan perihal politik dan kerajaan yang tidak masuk akal?

Tiada ulasan: