Rabu, 15 Julai 2015

PAS S'gor sediakan pengganti GHB

MALAYSIAKINI


 


PAS Selangor sudah menyiapkan pemangku bagi jawatan yang disandang oleh kumpulan progresif dalam PAS yang menubuhkan Gerakan Harapan Baru (GHB) untuk mengasaskan penubuhan satu parti politik baru berteraskan Islam.

Setiausahanya Mohd Khairuddin Othman berkata, arahan untuk mengisi kekosongan itu telah dikeluarkan dan juga sudah ada pengganti bagi jawatan tersebut.

“Bila seseorang itu ketua cawangan dan dia dah tidak jadi ahli, orang lain kena ambil jawatan itu.

“Di Selangor kita sudah bersedia untuk itu semua, arahan telah kita keluarkan untuk kawasan dan cawangan mengisi kekosongan, kita sudah ada orang untuk isi kekosongan itu,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

PAS Selangor sebelum ini berkata pendukung usaha menubuhkan parti Islam baru jatuh keahlian secara automatik, menurut peruntukan dalam perlembagaan parti.

Isnin lalu, kumpulan profesional yang kalah dalam pemilihan PAS bulan lepas mengumumkan penubuhan GHB untuk mengasaskan penubuhan satu parti politik baru berteraskan Islam untuk memperjuang usaha penubuhan gabungan pembangkang “Pakatan Rakyat 2.0”.

Selepas tergugurnya keahlian, tegas Mohd Khairuddin, mereka tidak mempunyai jawatan dalam PAS.

“Dia gugur secara automatik dalam perlembagaan. Mana-mana orang dalaman, mana-mana parti politik kalau dia mengisytiharkan tubuh parti baru, keahlian yang ada itu tergugur,” katanya yang mengulas penubuhan parti itu semalam.

Mohd Khairuddin yang menggelarkan GHB sebagai “bekas ahli kita”, berkata PAS negeri juga mengarahkan semua jawatan yang pernah disandang mereka, akan dipangku dengan serta-merta menurut kaedah perlembagaan.

Manakala Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Samad berkata pemangku bagi jawatan tersebut telah dikenal pasti supaya pentadbiran berjalan lancar selepas kumpulan progresif itu tidak lagi bersama PAS.

“Pemangku-pemangku dikenalpasti dari sekarang supaya pentadbiran parti berjalan lancar," katanya kepada Malaysiakini.

Tiada ulasan: