GEORGETOWN, PAS Pulau Pinang akan mempertimbangkan untuk memantau pergerakaan bekas Timbalan Presiden parti itu, Mohamad Sabu dan tidak teragak-agak untuk mengheretnya ke lembaga disiplin parti.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Fauzi Mohd Yusof berkata, adalah tidak adil untuk Mohamad terus berada di dalam PAS sedangkan beliau sedang berusaha menubuhkan sebuah parti baru, Gerakan Harapan Baru (GHB) kerana ia akan mengelirukan ahli-ahli PAS.

Beliau juga meminta Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu supaya berhenti mengkritik PAS hanya disebabkan beliau telah menubuhkan parti baru.

“Dia boleh buat apa sahaja dalam GHB, tetapi jangan heret PAS sekali.

“Apa guna beliau terus berada di dalam PAS sedangkan beliau telah membentuk satu parti baru,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post di sini, hari ini.

Mat Sabu sebelum ini dilaporkan penubuhan parti serpihan PAS yang dipanggil GHB itu merupakan satu bentuk pembaharuan dalam PAS bagi memastikan ia terus kekal relevan.

Jelasnya, pendekatan baru diperlukan untuk menarik kembali sokongan rakyat kerana PAS ketika sudah tidak lagi relevan.

Fauzi juga mengulangi kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan sebelum ini bahawa mengikut prosedur, PAS sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan disiplin terhadap Mat Sabu.

Mat Sabu ketika melancarkan GHB baru-baru ini berkata, parti baru itu akan mengambil pendekatan Islam secara holistik iaitu inklusif, progresif dan komited untuk memberi keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Mat Sabu dalam pemilihan parti itu awal Jun lalu tewas dalam perebutan jawatan timbalan presiden ditangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dengan majoriti 602 undi.

Mat Sabu yang memegang jawatan tersebut selama dua penggal sejak 2011 hanya mendapat 279 undi berbanding lawannya 881 undi.