Isnin, 20 Julai 2015

Mana pejuang demokrasi?




Oleh Timmy Say


Pada 1 November 2012, kerajaan Pulau Pinang meluluskan undang-undang anti-lompat parti.

Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga setiausaha agung DAP Lim Guan Eng ketika itu berhujah enakmen itu bertujuan untuk menangani budaya melompat parti politik untuk keuntungan peribadi dan mengembalikan kepada rakyat kuasa untuk memilih Adun.

Perkara terpenting dalam enakmen tersebut ialah keperluan untuk wakil rakyat yang dipilih untuk mengosongkan kerusinya jika melompat parti.

Seksyen 14A Enakmen tersebut berbunyi sedemikian: “Ahli yang menukar parti politik”, yang mengkehendaki seseorang Adun dari parti tertentu yang dipilih oleh rakyat, untuk mengosongkan kerusinya jika dia bertukar parti atau berhenti menjadi ahli parti atas apa jua alasan.
Ingat kata kunci: “apa jua alasan.”

Meskipun penguatkuasaan enakmen dipercayai terhalang kerana bercanggah dengan Perlembagaan
Persekutuan, namun dipercayai DAP yang sering melaungkan dirinya sebagai parti berprinsip masih mempertahankan apa yang dicanangkannya.

PAS kini berdepan dengan krisis dengan kemunculan Gerakan Harapan Baru (GHB) yang terdiri daripada sebilangan wakil-wakil rakyat PAS yang berniat menubuhkan parti baru.
Umum diketahui DAP menyatakan sokongan penuh kepada GHB.

Umum juga diketahui reputasi DAP yang cekap dalam memberikan reaksi atau membuat keputusan dalam isu-isu yang melibat demokrasi dan parti – contohnya DAP cukup laju untuk memutuskan kerjasama dengan PAS dan bertubi-tubi menuntut wakil-wakil PAS berundur dari kerajaan Pulau Pinang meskipun usul Dewan Ulama mencadangkan agar tahaluf siyasi dengan DAP dibatalkan belum diperkenan oleh Majlis Syura.

Malah, ada ahli PAS yang mengikuti stail ini dengan meletak jawatan serta-merta sejurus selepas muktamar berakhir.

Golongan ini diangkat dan dipuji DAP sebagai bermoral dan berprinsip. Mereka yang tidak mengikuti jejak mereka ini dilanyak dan dilabel sebagai tamak jawatan, tak bermoral dan tak berprinsip.

Dalam kes GHB ini, timbul pertanyaan mengapa DAP tidak secekap untuk memberikan pandangan demokrasinya mengenai prinsip anti-lompat parti.

DAP bukan jenis parti main-main apabila mencanangkan prinsip anti-lompat parti di Pulau Pinang.

Biasanya, DAP sudahpun bertubi-tubi mendesak wakil-wakil rakyat yang berniat melompat ke parti baru untuk mengosongkan kerusi apabila mereka menyatakan niat mereka untuk menyertai parti baru, meskipun ia belum tertubuh.

Malangnya dalam isu GHB ini, DAP tidak bertindak sedemikian. Malah timbul pertanyaan, apakah DAP akan menyerang mereka yang tidak mahu mengosongkan kerusi ini akan dilanyak dan dilabel tamak jawatan, tak bermoral dan tak berprinsip?

Manakala mereka yang mendesak golongan ini untuk mengosongkan kerusi akan dipuji dan diangkat, selari dengan prinsip yang dicanangkan mereka?

Atau prinsip anti-lompat parti hanya sekadar wayang di mana ia hanya dilaksana bergantung kepada untung-rugi politik, ia dicanang apabila merugikan dan didokong secara senyap apabila menguntungkan?

Biarlah masa dan rakyat menjadi hakim.

Cuma tertanya, prinsip demokrasi ala-apakah ini? Dan mana perginya suara pejuang demokrasi dan rakyat?

Oleh itu, ada satu nasihat penting orang tua buat ahli politik – janganlah dok ambil kesempatan tuduh orang lain tak lakukan ini, tak lakukan itu untuk menaikkan nama sendiri sedangkan diri sendiri tidak tahu sama ada boleh melakukan atau melepasi ujian apabila giliran diri diuji tiba.

Di dalam perjuangan pula, memang mudah menyuruh orang lain beristiqamah tatkala kamu berjawatan tapi orang lain tidak.

Yang payah ialah menyuruh diri beristiqamah apabila orang lain yang tidak berkuasa itu sudah berjaya mengharungi ujian istiqamah dan kini berkuasa manakala sendiri pula menjadi ahli biasa.

Jika diri sendiri memerlukan wadah baru yang memberikan jawatan untuk bergerak, buatlah apa yang patut dan diniati, tanpa perlu memburukkan wadah lama yang sudah memberikan peluang kepada orang lain.

Fikiran yang wajar ialah – tanyalah siapalah diri kalau tiada wadah lama ini. Apakah jasa wadah lama kepada diri ini tidak cukup bagi diri untuk tidak menyerangnya?

Pendek kata, wadah lama tidak bersalah (innocent) meskipun ia kini dipandu mereka yang tidak disukai diri. Kritiklah mereka yang tidak sukai itu, namun ia tetap tiada keperluan untuk diri memburukkan wadah lama ini.

Jangan pula terfikir – “tanpa saya, apalah ada pada wadah lama ini“. Lebih dahsyat kalau diri terfikir sebaliknya di mana wadah lama ini yang perlu mengingati jasa dan pengorbanan diri.

Jika begitu, renunglah pesanan As Syahid Hassan Al Banna yang dikirimkan oleh seorang sahabat saya ketika menulis artikel ini:

"Jika kamu membuat sesuatu kebaikan kepada manusia maka itu adalah sesuatu kejayaan yang besar bagi kamu.

Tetapi kalau kamu merasakan kamu sahaja yang boleh melakukannya dan orang lain tidak boleh... maka itu adalah satu kesilapan yang besar bagi kamu."

Sekian hujah kali ini untuk melanggar persepsi yang ada.

Tiada ulasan: