KUALA LUMPUR: Lima cedera, dua daripadanya parah, dan 11 ditahan polis
kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan di pusat membeli-belah Wangsa
Walk, di sini lewat petang Isnin.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata,
kesemua yang ditahan adalah remaja lelaki berusia 15 tahun hingga 29
tahun.
Katanya, dalam pergaduhan pada pukul 6.50 petang itu antara dua
kumpulan, seorang patah tengkok dan seorang lagi retak tulang bahu.
"Ia hanyalah pergaduhan antara dua kumpulan remaja yang berpunca dari
tindakan seorang abang yang menghalang perhubungan adiknya dengan
seorang lelaki," katanya kepada Bernama di sini.
Beliau berkata, lima yang cedera itu dipercayai akibat dipukul dengan
kayu, batang besi, topi keledar dan sepit udang motosikal.
"Mereka yang cedera telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan," katanya.
Beliau berkata, kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, polis menafikan pergaduhan itu melibatkan isu perkauman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan