Isnin, 13 Julai 2015

KPDNKK tak boleh raya, kata Rani Kulup

MALAYSIAKINI


 


Aktivis popular Abdul Rani Kulup Abdullah hari ini menyalahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) susulan insiden pergaduhan Plaza Low Yat, Kuala Lumpur.

Justeru, kata pengerusi Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) itu, dakwaan kegagalan KPDNKK menyiasat perkara berkaitan akan mengganggu urusan berhari raya pihak lain.

Rani mahu KPDNKK menyiasat dakwaan di Internet bahawa pergaduhan di Low Yat pada Sabtu dan Ahad berpunca daripada penipuan penjual telefon bimbit.

“Kepada KPDNKK anda tidak menjalankan tugas dengan kemas untuk membantu pembeli.

“Banyak pembeli teraniaya dan tertipu. Bila jadi macam ini polis yang susah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) patut boleh raya, (tetapi) tiga hari lagi nak raya tak boleh raya.

“KPDNKK kamu yang salah kamu yang tidak boleh raya, polis boleh beraya,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi.

Dalam versi lain, pergaduhan dikatakan berpunca daripada kes kecurian telefon bimbit.

Sementara itu, Rani hari ini membuat laporan polis yang mendakwa terdapat penjual menjual barangan tiruan di Low Yat.

Teliti sebelum beli

Beliau mahu PDRM dan KPDNKK bertindak segera dan membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan.

Sementara itu, beliau turut memberi amaran kepada pengguna agar meneliti telefon bimbit pintar sebelum dibeli terlebih dahulu supaya perkara sama tidak berulang.

Beliau bagaimanapun menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar berhenti dari menyebarkan maklumat tidak tepat yang boleh menyebabkan salah faham dan menyentuh sensitiviti kaum.

Selepas pergaduhan sekumpulan lelaki di plaza itu pada Sabtu, kira-kira 200 orang menyerbu pusat jualan barangan elektronik itu semalam.

Komen-komen di Internet menimbulkan kebimbangan ia menjurus ke arah pergaduhan kaum walaupun polis menafikan perkara itu.

Video dan gambar meluas disebar meluas di Internet.

Rani terkenal kerana cara berpakaian seragam seperti pasukan keselamatan, berkaca mata hitam dan kenyataannya yang dilihat mencuit hari pelbagai pihak.

Beliau kini antara 'personaliti' Internet yang paling banyak menjadi mangsa persendaan. 


 

Tiada ulasan: