Jumaat, 24 Julai 2015

Kewujudan Harapan Baru bukti PR makin lemah

Irmohizam Ibrahim
Irmohizam Ibrahim


SHAH ALAM –  Kewujudan Gerakan Harapan Baru yang dijangka akan sertai gabungan baharu pembangkang menggantikan Pas membuktikan PR kini semakin lemah, rapuh dan tidak dapat mewakili rakyat.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, Harapan Baru ini tidak mempunyai sokongan akar umbi yang kuat.

Katanya, kredibiliti pemimpin yang terlibat dalam Harapan Baru ini ditolak bukan sahaja dalam kalangan parti malah rakyat.

“Harapan Baru ini ditubuhkan hanya atas emosi segerombolan bekas pemimpin Pas yang kecewa akibat disingkirkan daripada barisan kepimpinan parti itu pada pemilihan Muktamar yang lepas dan bukannya untuk berbakti atau mewakili rakyat secara telus.

“Kemelut sebegini sememangnya pernah berlaku sebelum ini seperti penubuhan parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim). Apakah rakyat harus terus mempercayai barisan ahli yang tiada prinsip lemah aqidah?,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, penubuhan Harapan Baru juga bakal menjadi punca krisis politik termasuk di Selangor.

“Keahlian mereka yang terlibat dalam penubuhan ini akan tergugur secara automatik daripada Pas dan mereka sudah tidak boleh mewakili Pas lagi di Parlimen walaupun masih kekal sebagai Ahli Parlimen.

“Secara etikanya wajar mereka meletak jawatan sebagai wakil rakyat kerana sebelum ini mereka bertanding atas tiket Pas,” katanya lagi.


Tiada ulasan: