KUALA LUMPUR,-Tiada lagi kemeriahan Aidilfitri yang berbaki seminggu buat 10 keluarga di Kampung Chubadak Tambahan, Sentul, dekat sini, selepas lapan rumah setinggan di situ hangus dijilat api, petang semalam.


Malah, seorang ibu yang sarat mengandung enam bulan hanya mampu memandang sepi sepasang sepatu baharu milik anaknya, sambil sesekali menggilap kesan hitam yang mengotorinya.

“Ini baru saya beli semalam,” kata Haszura Huri – yang mengandung anak kedua – sambil membelek sepatu anak lelakinya yang berusia setahun enam bulan.

“Ingatkan nak bagi anak saya pakai waktu hari raya nanti. Kakak beli tiga pasang kasut untuk dia, tapi dapat selamatkan satu saja. Itu pun macam dah tidak boleh pakai.”

Kata Haszura yang tinggal di rumah berusia lebih 40 tahun bersama suami, anak dan ibu mertuanya, beliau dan suami membeli keperluan menyambut hari raya semalam, termasuk karpet bagi membuat kejutan untuk ibu mertuanya, sebelum semuanya hangus dijilat api.

Haszura berkata ketika kejadian, beliau baharu pulang ke rumah dan sedang tidurkan anak, sebelum ternampak asap tebal, dan terus melarikan anaknya dan ibu mertuanya ke rumah kakaknya.

“Selepas keluar dari rumah tak sampai lima minit, api dah mulai marak, dan tak sempat nak selamatkan barangan lain,” katanya.

Haszura adalah seorang daripada 47 mangsa daripada 10 keluarga terbabit yang tinggal sehelai sepinggang, apabila api membakar kediaman mereka, kurang tiga jam sebelum berbuka puasa.

Dalam kejadian kebakaran kira-kira 4.30 petang, rumah papan dan batu terbabit gagal diselamatkan berikutan kawasan penempatan setinggan itu tiada pili bomba.

Sementara itu, Ketua Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani, berkata kira-kira 55 anggota Bomba dan Penyelamat dari tujuh balai termasuk bomba sukarela, tujuh jentera bomba dan tiga buah jentera tangka air digerakkan bagi operasi kebakaran berkenaan.

“Kita terima panggilan kira-kira pukul 4.38 minit, dan bergerak sejurus kemudian. Api hanya dapat dipadamkan sepenuhnya kira-kira 6.30 petang.

“Di kawasan setinggan ini tiada pili bomba jadi kita terpaksa menggunakan air daripada kawasan perumahan berdekatan, selain tiga buah jentera tangki air,” katanya.

Beliau berkata, cuaca kering dan angin kuat selain faktor rumah separuh kayu dan batu menyebabkan api marak dengan cepat.

Katanya, kebakaran kemungkinan berpunca daripada litar pintas bahagian dapur salah sebuah rumah yang terlibat sebelum merebak ke rumah-rumah lain.

“Bagaimanapun, ini kita akan lihat dari siasatan pasukan forensik, apa yang penting tiada kemalangan jiwa,” katanya, menambah bahawa kesemua mangsa akan dipindahkan ke Dewan Komuniti Taman Datuk Senu untuk sementara waktu.