shahbudindotcom
Belum
pun kita tahu apa kesudahannya dengan skandal yang didedahkan oleh The
Wall Street Journal atau WSJ berkenaan pengaliran wang masuk berjumlah
RM2.6 bilion ke akaun peribadi Perdana Menteri, kini satu lagi
pendedahan dibuat oleh media asing.
Kali
ini Sydney Morning Herald (SMH) mendedahkan bagaimana Putrajaya menolak
untuk memberi kerjasama berhubung maklumat yang diperlukan Jabatan
Peguam Negara Komanwel berkaitan orang tengah yang dipercayai terlibat
dengan rasuah dalam urusan percetakan wang kertas polimer yang dilakukan
di Australia.
Akhbar
tersebut mendakwa, Putrajaya enggan memberi kerjasama itu kerana ia
dianggap sensitif lantaran orang tengah yang didakwa terlibat dengan
rasuah itu didakwa mempunyai hubungan rapat dengan Najib Razak serta
Perdana Menteri terdahulu, Tun Abdullah Badawi.
Siapakah
agaknya orang tengah terbabit dan kenapa Putrajaya seolah-olah memilih
untuk melindunginya daripada memberi kerjasama untuk sama-sama
membanteras antara amalan paling keji dalam dunia itu?
Pendedahan
SMH ini tentunya sekali lagi memalukan nama Malaysia di mata dunia
kerana pemimpin kita bukan saja dipalitkan dengan skandal yang belum ada
penjelasan meyakinkan sehingga kini, tetapi juga cuba menutup skandal
yang lain pula.
Jika
dikira dengan pendedahan Sarawak Report bagaimana isteri Perdana
Menteri Rosmah Mansor mendepositkan wang berjumlah RM2 juta ke dalam
akaun peribadi hanya dalam tempoh tidak sampai tiga bulan, bermakna
sudah ada tiga "penanda aras" yang mencemarkan nama Najib dibuat oleh
media asing dalam waktu terdekat ini.
Seperti
biasa, kita tidak akan dapat mendengar apa-apa jawapan dan penjelasan
daripada Najib berkaitan perkara seperti ini kerana beliau lebih suka
berdiam diri dan mengunci mulutnya.
Walaupun
rasuah merupakan isu penting dan mencemarkan nama baik negara, Najib
sebaliknya lebih suka bercerita tentang hidangan nasi goreng kampung
yang menjadi kegemarannnya ketika bersahur daripada menunjukkan
iltizamnya sebagai pemimpin terhadap perkara yang sedang mencemarkan
namanya, negara dan rakyat Malaysia itu.
Lebih
malang lagi ialah kita juga mempunyai barisan kabinet dan MT UMNO yang
terlalu baik hati dalam menangani isu-isu rasuah dan skandal yang
memalukan seperti ini.
Tidak
ada sesiapa daripada ahli kabinet atau MT UMNO yang tergerak hati
untuk meminta penjelasan atau jawapan sebenarnya daripada Najib
berkaitan isu RM2.6 bilion mahupun RM2 juta yang dikaitkan dengan
Rosmah, malah percayalah, dalam skandal yang didedahkan oleh SMH ini
juga, semuanya lebih selesa memilih untuk berdiam diri saja.
Seolah-olah
kabinet dan MT UMNO tiada apa-apa tanggungjawab untuk menunjukkan jalan
kebenaran kepada rakyat dan ahli-ahli parti, kedua-dua entiti itu lebih
gah untuk memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Perdana
Menteri.
Barangkali,
di dalam dunia ini, inilah barisan kabinet dan kepimpinan tertinggi
parti yang paling baik dan budiman sekali.
Daripada
menjawab isu skandal dan rasuah yang melibatkan kepentingan negara,
Najib sebaliknya lebih selesa berkongsi cerita mengenai nasi goreng
kampung yang menjadi kegemarannya untuk bersahur.
1 ulasan:
Bila balik ke kawasan Parlimen beliau, dia akan berkata nasi goreng "PEKAN" paling saya gemari.....kah kah kah...
Catat Ulasan