Selasa, 21 Julai 2015

Hebat...Hanya Sekali Sarawak Report Mendedahkan Tentang Rosmah, Terus Diambil Tindakan!!

shahbudindotcom






Ramai yang terperanjat dengan tindakan kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia atau SKMM menyekat pengguna internet negara ini daripada melayari laman pembocor maklumat, Sarawak Report mulai petang semalam.

Walaupun alasan yang diberi oleh SKMM ialah Sarawak Report telah mengganggu kestabilan negara, dipercayai berikutan beberapa laporannya mengenai 1MDB dan Perdana Menteri, Najib Razak sebelum ini, kerajaan seharusnya membuat pilihan lain selain melakukan sekatan.

Ramai juga yang menyifatkan tindakan menyekat Sarawak Report ini sebagai langkah terdesak kerajaan pimpinan Najib untuk mengelakkan rakyat mendapat maklumat yang benar dan rencam daripada pelbagai sumber.

Dengan tindakan menyekat ini, kerajaan pimpinan Najib yang selalu melaungkan keterbukaan dan merendah diri dengan mengatakan "era kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berakhir" ternyata hanya mainan di bibir untuk memukau sokongan rakyat terhadapnya.

Najib seolah-olah sedang membawa kerajaan di era langit terbuka ini berundur ke belakang dan hanya mahukan rakyat mempercayai maklumat daripada mereka saja.

Kerajaan juga, seharusnya mengambil tindakan undang-undang terhadap Sarawak Report jika didapat laporan dan pendedahannya adalah palsu serta fitnah.

Selain itu, pendedahan Sarawak Report mengenai 1MDB dan kaitannya dengan Najib juga bukanlah perkara baru, ia sebaliknya sudah dilakukan sejak berbulan-bulan sebelum ini.

Kenapa tiada tindakan diambil sebelum ini dan hanya sekarang tindakan menyekat itu diambil?

Jika benar laporan dan pendedahan Sarawak Report mengganggu kestabilan negara, sepatutnya tindakan sudah lama diambil dan bukannya hanya  semalam SKMM baru bertindak?

Jika kita masih ingat, pendedahan terakhir Sarawak Report mengenai negara ini bukanlah berkaitan 1MDB atau Najib, tetapi  mengenai Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri yang didakwa mendepositkan wang sejumlah RM2 juta ke dalam akaun peribadinya melalui seorang pembantunya bernama Roslan Sohari dalam tempoh tidak sampai tiga bulan.

Pendedahan yang lengkap dengan nombor akaun bank, nama cawangan dan jumlah transaksi itu akhirnya diakui oleh Rosmah melalui peguamnya sebagai benar, tetapi menganggapnya sebagai tidak wajar dan berniat untuk menyinggung serta mengganggu kehidupan isteri Perdana Menteri itu.

Sehubungan itu, selain memberi amaran kepada Bank Negara untuk mengambil tindakan dalam tempoh 72 jam, Rosmah melalui peguamnya itu mahukan SKMM bertindak terhadap Sarawak Report dibawah Akta SKMM 1988 ( Akta 588 ).

Peguam dari firma guaman Norhairan Mohd Nor Rosmah menyifatkan artikel Sarawak Report itu menyinggung dan melanggar undang-undang Malaysia kerana akaun bank yang dirujuk itu adalah akaun peribadi isteri Perdana Menteri dan telah dibuka sejak tahun 1984 lagi.

Nah...sekarang jelas bahawa dengan hanya sekali laporan mengenai Rosmah saja, itu pun bukannya pendedahan tidak benar atau fitnah, tindakan terus diambil terhadap Sarawak Report sedangkan selama berbulan-bulan dan pelbagai pendedahan mengenai Najib dan 1MDB, langsung tiada apa-apa bunyi pun daripada SKMM.

Meskipun kerajaan boleh menafikan tindakan terhadap Sarawak Report ini ada kaitan dengan gesaan Rosmah yang mahukan SKMM segera bertindak, namun itulah persepsi yang sedang berkembangbiak dalam pemikiran ramai ketika ini.

Ohh, hebat dan menariknya negaraku sekarang ini.



Laporan mengenai sekatan SKMM terhadap Sarawak Report yang disiarkan di laman sosial Facebooknya petang semalam.


Tiada ulasan: