KOTA BHARU, Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad menyifatkan parti Gerakan Harapan Baharu (GHB) hanyalah parti untuk golongan yang `sudah tidak ada harapan’.


Bagaimanapun, beliau membayangkan kebebasan untuk golongan terbabit berbuat demikian kerana Malaysia adalah negara demokrasi dan mereka bebas membuat pilihan, iaitu samada kekal dalam PAS atau menyertai GHB.

Mengulas mengenai kumpulan G18 yang bakal menubuhkan parti baru dan keluar PAS, Md Alwi bagaimanapun sambil berseloroh berkata, bukannya jatuh murtad sekiranya kumpulan terbabit keluar daripada PAS.

“Sejak dahulu lagi saya katakan yang Islam bukan PAS dan mereka yang ingin memilih GHB dipersilakan.

“Bagi saya GHB ini adalah untuk mereka yang sudah tidak ada harapan,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri di rumahnya malam tadi.

Mengulas mengenai bai’ah yang dikatakan pernah dibuat oleh segelintir ahli parlimen PAS sebelum ini, Md Alwi mengakui, dia sebenarnya tidak mengetahui dengan lebih mendalam mengenai aku janji berkenaan.
Sehubungan itu, beliau enggan mengulas lanjut mengenainya bagi mengelakkan berlaku kekeliruan.

Namun begitu katanya, sekiranya betul golongan terbabit ada membuat aku janji, maka, mereka seharusnya terima kifarahnya.

“Semua mereka ini (G18) adalah orang yang cerdik pandai dan tahu selok belok agama. Saya sendiri sebenarnya sedih dengan apa yang berlaku.

“Saya sendiri sebenarnya hargai apa yang PAS lakukan. PAS bukan musuh politik saya dan hanyalah lawan di dalam arena politik. Bagi saya, PAS perlu disokong oleh orang Islam malah kumpulan Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu disokong,” katanya.

Jelasnya, dia sendiri memilih UMNO kerana banyak perkara boleh dilakukan menerusi parti terbabit dan niat mesti betul.

“Sebab itulah saya sentiasa berpesan kepada ahli supaya mesti ada integriti dan sentiasa mengukur baju di badan sendiri. Sekiranya berasa diri menjadi beban kepada masyarakat, tanyalah diri,” katanya.
Pada 13 Julai lalu, beberapa pemimpin kanan PAS daripada kumpulan progresif parti itu yang tewas dalam pemilihan parti melancarkan GHB bertujuan menyatukan semula parti politik pembangkang.

Berdasarkan cadangan awal, GHB dipengerusikan Mat Sabu, manakala anggota jawatankuasa interimnya terdiri daripada bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib; bekas Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar; bekas Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub serta bekas pemimpin kanan parti seperti Khalid Samad, Dr Mohd Hatta Ramli dan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Difahamkan, anggota kumpulan terbabit kemungkinan akan berundur secara terhormat dari PAS jika penubuhan parti baharu itu menjadi kenyataan kerana dalam perlembagaan PAS tidak membenarkan menjadi anggota dua parti.