KUALA LUMPUR- Parti Islam Malaysia (PAS) melihat tindakan G18 yang mahu menubuhkan parti baharu Gerakan Harapan Baru (GHB), sebagai tidak bermaruah kerana kebanyakan pendokong GHB masih lagi menjadi ahli PAS.


Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasruddin Hassan dalam satu kenyataan, hari ini, menjelaskan, mereka masih berstatus ahli PAS, tetapi mereka melakukan perkara yang merosakkan PAS dari dalam.

“Layaknya tindakan mereka itu adalah satu pengkhianatan kepada jamaah atau parti. Ia satu kesalahan besar dan pasti mereka akan dirujuk kepada tindakan disiplin parti berasaskan peruntukkan perlembagaan PAS sedia ada.

“Kecuali mereka bukan lagi ahli parti, maka mereka bebas untuk melakukan apa sahaja tanpa terikat dengan peraturan dan arahan parti.

“Tidak ada apa-apa nilai lagi bagi mereka berada di dalam PAS jika tindakan mereka sedemikian rupa.

“Melainkan mereka memang bermaksud demikian, iaitu kekal dalam PAS dan rosakkan PAS dari dalam dengan menghasut ahli keluar meninggalkan PAS menyertai parti mereka yang bakal ditubuh kelak. 

Tindakan sebegitu bukan sekadar pengkhianatan malah juga satu kejahatan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamad dalam satu kenyataan juga menjelaskan ahli PAS yang berhasrat untuk berhijrah menyertai GHB lebih bersikap amanah kepada Allah dan berintegriti.

Beliau juga menyeru pemimpin PAS terbabit agar melepaskan jawatan secara terhormat sebagai lambang amanah dan integriti.

“Saya berharap sahabat-sahabat dapat meninggalkan PAS dengan cara terhormat iaitu dengan meletak semua jawatan dalam PAS kerana tidak ada maknanya sebagai ahli PAS  tetapi masih berkempen mengajak ahli-ahli PAS supaya meninggakan PAS dan berpindah ke wadah baru,” ujarnya.

Malah beliau mengesa semuah Ahli Parlimen dan ADUN yang menang atas tiket PAS meletakkan jawatan.

“Seruan saya kepada wakil rakyat di Parlimen dan DUN, secara jujur dan ikhlas supaya sahabat-sahabat meletakkan jawatan kerana tuan puan adalah wakil rakyat bukan wakil DAP mahupun GHB,” ujarnya.