Ahad, 26 Julai 2015

ABIM akan pertimbang hasrat PKR mahu jalin muafakat politik

 Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengambil sikap tunggu dan lihat terlebih dahulu berhubung hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang berusaha mewujudkan permuafakatan politik antara gerakan progresif dan badan bukan kerajaan (NGO).
 
Presidennya, Amidi Abdul Manan berkata, setakat ini ABIM tidak menerima apa-apa perincian lagi daripada Ketua Umum PKR  itu berhubung hasratnya.
 
Anwar sebelum ini meluahkan hasrat turut mahukan ABIM sama terlibat dalam mewujudkan muafakat politik yang lebih utuh, yang akan melibatkan semua gerakan progresif termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
 
"Sebab tiada apa-apa lagi, apa yang Anwar hendak bincang, itu kita tidak tahu lagi, mungkin dia Anwar sekadar mahu menyatakan hasrat dia dahulu.
 
"Jadi kita tunggu dan lihat selepas ini," katanya kepada Antarapos ketika dihubungi.
 
Beliau dalam pada itu berkata, usaha Anwar itu disambut baik selagi ianya menjamin keharmonian negara dan berada pada landasan sistem berperlembagaan.
 
"Ini adalah sebagai satu ikthiar beliau (Datuk Seri Anwar), sama ada usaha beliau itu akan berjaya atau tidak, kita tunggu dan lihat.
 
"Dan kata orang itu, tapi kami ABIM mengalukan jika ia benar-benar proses demokrasi yang sihat dan boleh untuk mempertahankan kedaulatan agama, kedudukan bangsa Melayu dan keharmonian dalam masyarakat," katanya.
 
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, tidak dapat memberi jaminan bentuk kerjasama yang boleh diberikan ABIM selagi tiada perbicangan rasmi secara bersama dengan NGO itu.
 
"Saya pun tidak tahu apa yang hendak beliau bentangkan, jadi apakah bentuk kerjasama yang diperlukan mereka?
 
"Sama ada dari segi idea atau sebagainya, jadi saya tidak boleh hendak komen lebih benda itu," katanya.
 
Kelmarin, Anwar yang juga Penasihat PKR memberikan bayangan jelas akan menjalinkan kerjasama dengan Gerakan Harapan Baru (GHB) atas dasar permuafakatan politik yang lebih kukuh. 
 
Katanya lagi, parti berkenaan sedang mewujudkan permuafakatan politik melibatkan semua gerakan progresif termasuk NGO seperti BERSIH, ABIM, IKRAM dan Gerakan Harapan Baru yang baru sahaja diwujudkan.
 
Susulan kenyataan Anwar itu adalah pendirian PKR yang paling jelas setakat ini terhadap ura-ura penubuhan sebuah parti politik baru oleh kumpulan bekas pemimpin PAS yang kalah dalam pemilihan parti 4 Jun  lalu

Tiada ulasan: