KUALA LUMPUR- Lapan kematian akibat denggi dicatatkan di seluruh negara minggu lepas, menjadikan jumlah kematian kepada 173  iaitu dua kali ganda daripada 87 kematian dilaporkan pada tahun lepas dalam tempoh yang sama.


Statistik terkini yang dikeluarkan oleh Pusat Kesediaan Krisis Dan Tindak Balas Nasional (CPRC) yang berfungsi sebagai pusat kesiapsiagaan dan tindakan krisis kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mencatatkan kadar kematian demam denggi pada minggu ke-27 ialah 98.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Minggu lepas sahaja, terdapat 3,283 kes yang direkodkan dengan  peningkatan 15.9 peratus berbanding minggu ke-27 yang sama, tahun lalu.

Dari Januari hingga 11 Julai tahun ini, KKM telah mencatatkan sejumlah 62.648 kes denggi berbanding hanya 46.681 kes pada tahun lalu.

“Dengan sambutan hari raya, ramai yang akan pulang ke kampung halaman masing-masing maka kami menggesa orang ramai untuk mengambil langkah berjaga-jaga.

“Mereka perlu mengambil usaha untuk membasmi nyamuk aedes dengan menjaga persekitaran yang bersih,” kata CPRC dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Pusat itu juga telah mengenalpasti 189 kawasan panas di seluruh negara, dengan jumlah tertinggi di Selangor iaitu 151 kawasan.

Kawasan panas lain dengan peningkatan kes adalah di Johor dengan 23 kes, Perak (10 kes) dan lima kes di Pulau Pinang.