MALAYSIAKINI
Akhbar Utusan Malaysia edisi hujung minggu hari ini
tidak teruja untuk mengulas kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad yang
menarik balik sokongannya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak.
Dalam tulisan pojok Awang Selamat hari ini menyebut selain memberi
pandangan, sememangnya gaya berpolitik bekas perdana menteri itu
antaranya "melakukan provokasi".
"Seperti rakyat yang lain, Dr Mahathir berhak untuk menyuarakan pandangan sama ada yang manis atau mahupun pedas.
"Sejak mula berpolitik, itu sememangnya gaya beliau - mengkritik,
memberikan idea dan melakukan provokasi," tulisan Awang Selamat dalam
akhbar itu dipetik.
Dr Mahathir sebelum ini dilapor menarik balik sokongan
kepada Najib selepas melihat prestasinya lebih buruk termasuk “dasar
dan tindakannya juga tidak lebih berkesan” berbanding Tun Abdullah Ahmad
Badawi sebelum ini.
Tulisan Awang dalam akhbar milik Umno itu juga menyebut, kritikan Dr
Mahathir kepada Najib dianggap hal biasa, memandangkan bekas presiden
Umno itu juga pernah ditegur antaranya daripada Tunku Abdul Rahman.
Bagaimanapun tulisan itu memuji sikap Najib yang sabar, tenang dan tidak melatah ketika berdepan dengan kritikan itu.
"Perdana menteri sudah terbukti mempunyai rekod baik dalam menangani kritikan pada pemimpin termasuk Dr Mahathir.
"Kini Najib menerajui negara dalam lanskap politik yang jauh lebih
mencabar berbanding era-era sebelum ini. Maka beliau perlu disokong atas
banyak faktor.
"Antaranya prestasi pentadbiran beliau setakat ini tidak mengecewakan
termasuk mengurus krisis seperti MH17," tulisan itu dipetik.
Tulisan itu juga menyebut, menarik balik sokongan kepada Najib bukan
jalan penyelesaian malah boleh mengundang pihak yang ghairah menangguk
di air keruh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan