MALAYSIAKINI
BN yakin dapat mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)
Pengkalan Kubor, Kelantan, meskipun terpaksa berhadapan cabaran daripada
PAS, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin, yang juga timbalan pengerusi BN, berkata walaupun DUN
Pengkalan Kubor adalah kubu kuat parti namun BN tidak boleh ambil mudah,
sebaliknya perlu bekerja keras untuk mempertahankan kerusi itu.
"Kita tahu kawasan itu bukan mudah tetapi terbukti kawasan ini memang
telah diwakili calon kita. Kita akan mengambil peluang ini untuk
jelaskan dasar-dasar perjuangan Umno dan BN," katanya kepada pemberita
selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfitri anjuran Umno bahagian
Pagoh, dekat Muar hari ini.
Beliau turut memuji keperibadian penyandang kerusi DUN Pengkalan Kubor,
Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar, yang semasa hayatnya sentiasa
berpijak di bumi nyata, bekerja keras dan sering memberi perkhidmatan
cemerlang dari segi pembangunan ekonomi, sosial dan pendidikan kepada
pengundi tanpa mengira latar belakang mereka.
Allahyarham Noor Zahidi, 57, yang menjadi Adun Pengkalan Kubor selama
tiga penggal dan Ketua Umno Bahagian Tumpat selama empat penggal,
meninggal dunia akibat kanser hati pada pukul 5.45 pagi, Rabu lepas
ketika menjalani rawatan di sebuah hospital di Guangzhou, China.
Pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham yang mewakili BN mengalahkan
calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary
dengan majoriti 1,736 undi.
Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno, turut membayangkan BN akan
menurunkan calon muda untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil DUN
Pengkalan Kubor kali ini.
"Kita sudah kenal pasti ramai tokoh muda berwibawa yang boleh
diketengahkan. Saya harap ini dapat diputuskan dalam tempoh bila tarikh
pengumuman calon itu diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya," kata
Muhyiddin.
Ketika ditanya sama ada kemelut yang menyelubungi pakatan pembangkang
bakal memberikan kelebihan kepada BN, beliau berkata pengundi sentiasa
peka mengenai isu seperti ini.
"Semuanya akan menjadi pertimbangan buat pengundi seperti juga contoh
kemelut krisis politik di negeri Selangor...pertembungan dan perbezaan
pendapat yang agak ketara antara komponen pakatan pembangkang, baik PAS,
DAP dan PKR," kata Muhyiddin.
BN, katanya, boleh mengambil iktibar daripadanya untuk memberi
penjelasan kepada pengundi tentang apa yang berlaku, sekali gus
menerangkan kepada pengundi bagaimana BN berjuang untuk rakyat dan
menguruskan hal negara.
Kira-kira 20,000 orang hadir memeriahkan majlis sambutan Aidilfitri kali
ini. Turut hadir isteri Muhyiddin, Puan Sri Norainee Abdul Rahman dan
Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan