Pesawat MH19 yang membawa dua jenazah baru sahaja tiba di Kompleks Bunga Raya, KLIA kira-kira jam 8.30 pagi tadi. - Foto Sinar Harian Pesawat MH19 yang membawa dua jenazah baru sahaja tiba di Kompleks Bunga Raya, KLIA kira-kira jam 8.30 pagi tadi. - Foto Sinar Harian
 
 
 
SEPANG - [DIKEMASKINI] Walaupun hanya dua jenazah mengikuti Istiadat Penghomatan  Jenazah MH17 pagi ini namun suasana sedih tetap menyelubungi pekarangan Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ( KLIA ).

Suasana sebak semakin dirasai sebaik pintu pesawat MH19 dibuka tepat jam 8.32 pagi.

Jenazah kumpulan kedua itu adalah Penyelia Penerbangan Kabin pesawat MH17, Mohd Ghafar Abu Bakar dan pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Ng Shi Ing disambut penuh terhormat bermula jam 8.30 pagi tadi.

Kelihatan ahli keluarga tidak dapat menahan sebak ketika pesawat berhenti di hadapan khemah utama.

Pasukan penanda mula mengambil tempat dan dan kumpulan pengusung bersedia untuk membawa jenazah pertama.

Sebaik abu jenazah Shi Ing dibawa masuk ke van jenazah, hadirin diminta berdiri untuk bertafakur selama seminit pada jam 8.41 pagi sebagai tanda penghormatan terakhir.

Keadaan cuaca pagi cerah, namun suasana agak suram ketika kenderaan jenazah melintasi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman untuk dibawa ke lokasi pengkebumian masing - masing.

Difahamkan, jenazah Allahyarham Mohd Ghafar akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kosas, Ampang, Selangor manakala abu mayat mendiang Shi Ing akan dibawa ke Xiao En Bereavement Care Sdn Bhd, di Cheras, Kuala Lumpur.

Dua jenazah berkenaan adalah antara tiga jenazah yang selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tepat jam 6.54 pagi tadi menerusi penerbangan MH19 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Schiphol, Belanda pada jam 12.50 tengah hari Sabtu waktu tempatan (6.50 petang waktu Malaysia).

Identiti jenazah ketiga tidak didedahkan atas permintaan pihak keluarga, dan difahamkan jenazahnya dibawa terus ke kediaman keluarganya.

Setakat ini, pihak berkuasa Belanda mengenal pasti 30 mayat rakyat Malaysia, termasuk 20 yang sudah dibawa pulang ke tanah air kelmarin dan tiga pada hari ini.

Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas selepas ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu.

Selain 43 warga Malaysia, pesawat itu turut membawa penumpang warga Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand.