Isnin, 25 Ogos 2014

Tiada pertelingkahan antara PAS dan PKR di Terengganu

 
Mustafa Ali menegaskan hubungan antara kedua-dua parti dalam keadaan baik dan mesra dan sekiranya keadaan adalah sebaliknya, ia di luar pengetahuan beliau.


ali_300



KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menegaskan bahawa tiada apa-apa pertelingkahan yang berlaku antara PAS dan PKR di Terengganu.

Sebelum ini seorang perwakilan PKR Cabang Dungun, Azlan Che Mat mendakwa mereka seakan sudah mula hilang keyakinan kepada pimpinan rakan sekutunya iaitu PAS di negeri terbabit dan dikatakan kedua-dua parti berkenaan tidak mempunyai persefahaman lagi.

“Setahu saya hubungan kedua parti ini baik sahaja dan mesra. Yang kata tidak mesra itu saya tidak tahu,” katanya ketika ditanya oleh pemberita dalam sidang media anjuran PAS.

Tambah beliau pilihan raya sudah setahun setengah berlalu dan sampai sekarang masih tidak ada apa-apa maklumat atau laporan berkenaan kenyataan daripada perwakilan PKR tersebut.

“Kalau beliau ada menyatakan pandangannya di Kongres PKR sebelum ini, dia (Azlan) harus memberitahu kepada saya.

“Jika saya ada menerima laporan tersebut, saya akan periksa. Namun saya tidak pernah mendapat laporan seperti yang didakwa Azlan,” jelasnya.

Azlan sebelum ini turut mendakwa PKR Terengganu kini seperti sudah menjadi mangsa buli PAS. Beliau menyatakan pandangannya ketika membahaskan usul antarabangsa sempena Kongres Nasional PKR Ke-10.

Azlan turut menganggap PAS masih tidak bersedia untuk bersama dalam perjuangan Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan: