PRK PK
 
 
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan semalam berhubung kekosongan kerusi bahagian pilihan raya Dun N1 Pengkalan Kubor, Kelantan.
  
Kekosongan itu berikutan kematian penyandangnya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos.
  
"Sehubungan itu, SPR akan mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan semua perkara berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N.01 Pengkalan Kubor pada 29 Ogos, pukul 9 pagi bertempat di Ibu Pejabat SPR, Putrajaya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
  
Mesyuarat khas itu akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang akan membincangkan tarikh penting seperti tarikh Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian Awal, Hari Pengundian Biasa, Daftar Pemilih yang akan digunakan dalam PRK itu nanti serta persiapan lain yang diperlukan.
  
Mesyuarat itu kemudian akan disusuli dengan sidang media oleh Abdul Aziz. - Bernama