Khamis, 21 Ogos 2014

Shahrizat: Hormat Mahathir tapi sokong Najib

MALAYSIAKINI


 


Wanita Umno menyatakan sokongan tak berbelah bagi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang menerima tekanan demi tekanan dari bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua pergerakan itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil juga berkata nasihat dan pandangan Mahathir tetap dihargai dan menggesa agar kedua-dua pemimpin dapat bekerjasama secara erat demi manfaat kepada negara.

"Sokongan ini berdasarkan visi, kekuatan dan kebijaksanaan Datuk Seri Najib memahami tuntutan dan lanskap politik, ekonomi dan sosial masa kini untuk menentukan Malaysia terus demokratik, aman, membangun dan dihormati di peringkat global," katanya dalam satu kenyataan.

Shahrizat, yang terpaksa berundur dari kabinet sewaktu skandal National Feedlot Corporation meletus, turut memuji Najib sebagai pemimpin yang berjaya mempertahankan negara walau ia cuba “dikucar-kacirkan pembangkang”.

"Kebijaksanaan, keterbukaan dan sifat inklusif Datuk Seri Najib menentukan BN terus menjadi kerajaan Malaysia dalam mempertahankan keselamatan dan pembangunan rakyat terutama di kala pihak pembangkang bertalu-talu cuba mengkucar-kacirkan negara," katanya.

"Saya percaya keakraban dan perkongsian pendapat di antara Datuk Seri Najib dengan Tun Dr Mahathir mampu membawa kekuatan kepada Umno dan BN terutama di kala membincang isu-isu yang kritikal untuk negara.

"Ia umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak," katanya.

Sementara itu, dalam nada serupa, Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Muhammad Rafii turut mempertahankan Najib yang menurutnya terpaksa mengharungi cabaran lebih besar berbanding perdana menteri terdahulu.

Kenyataan berkenaan timbul selepas Mahathir melancarkan kritikan keras ke atas Najib dengan menyifatkan prestasi Najib lebih buruk berbanding yang ditunjukkan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Tiada ulasan: