Khamis, 14 Ogos 2014

Semua ahli majlis S'gor kekal

MALAYSIAKINI






Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) hari ini membuat keputusan mengekalkan semua ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang sedia ada.

Kuota yang masih tidak diisi sehingga kini akan dibuka kepada orang awam menerusi pengiklanan di akhbar dan media massa.

Sejak 2013, hanya kira-kira 80 dari hampir 200 kuota ahli majlis sembilan kerajaan tempatan di Selangor telah diisi.

Exco Selangor Dr Halimah Ali mengesahkan perkara tersebut kepada media sebentar tadi.
"Ya, semua ahli majlis kekal," kata beliau di lobi bangunan SUK hari.

Sementara itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam kenyataan medianya berkata kerajaan negeri mahu memberi peluang kepada rakyat Selangor terlibat secara langsung dalam pentadbiran negeri.

"Bagi mengisi kekosongan 51 jawatan Ahli Majlis PBT di seluruh negeri, MTES membuat keputusan supaya tawaran untuk mengisi sebahagian kekosongan itu dibuka kepada rakyat Selangor yang berkelayakan.

"Sehubungan itu, Kerajaan Selangor mengalu-alukan rakyat Selangor dari golongan profesional dan aktivis masyarakat untuk memohon menjadi Ahli Majlis sekaligus sebahagian daripada kerajaan rakyat ini," kata beliau.

Semalam, Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat dilaporkan menyuarakan kebimbangannya tentang kemungkinan ahli-ahli majlis dari PKR dan DAP turut dipecat susulan pemecatan exco PKR dan DAP.

Suhaizan berharap agar exco-exco PAS yang kekal dalam kerajaan Selangor tidak menyokong usul itu seandainya ia dicadangkan kelak.

Sementara itu Khalid memberitahu isu kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penasihat ekonomi negeri, tidak dibincangkan dalam mesyuarat MTES kira-kira dua jam yang baru selesai pada jam 12 tengah hari tadi.

Tiada ulasan: