Khamis, 14 Ogos 2014

Pulau Pinang tidak boleh adakan pilihan raya kerajaan tempatan, kata Mahkamah Persekutuan

OLEH V. ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA


Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak ada kuasa secara unilateral menggantung peruntukan di bawah Akta Kerajaan Tempatan untuk mengadakan pilihan raya bagi memilih ahli Majlis Kerajaan Tempatan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 14 Ogos, 2014.
Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak ada kuasa secara unilateral menggantung peruntukan di bawah Akta Kerajaan Tempatan untuk mengadakan pilihan raya bagi memilih ahli Majlis Kerajaan Tempatan. – Gambar fail The Malaysian Insider,



Mahkamah Persekutuan memutuskan kerajaan negeri Pulau Pinang yang ditadbir DAP tidak berkuasa untuk mengadakan pilihan raya bagi memilih ahli Majlis Kerajaan Tempatan.

Hakim Tan Sri Raus Sharif yang mengetuai panel lima anggota berkata negeri tidak ada kuasa secara unilateral menggantung peruntukan di bawah Akta Kerajaan Tempatan untuk mengadakan pilihan raya tersebut.

"Pengecualian itu juga bertentangan dengan dasar negara," katanya semasa menyampaikan keputusan sebulat suara yang dicapai hari ini.

Raus juga berkata pilihan raya kerajaan tempatan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya Enakmen Pilihanraya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Prai 2012) yang diluluskan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 2012 enakmen diluluskan Dewan Undangan Negeri pada 2012 bertentangan dengan Perlembagaan dan undang-undang diluluskan Parlimen.

Katanya sebarang percubaan mengadakan pilihan raya mesti melalui Majlis Negara bagi kerajaan tempatan tetapi Pulau Pinang gagal melakukannya.

Kerajaan Pulau Pinang berpandangan pilihan raya kerajaan tempatan adalah perkara bawah kelolaan negeri mengikut Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai bidang kuasa mengadakan peruntukan bagi mengadakan pilihan raya tempatan di bawah Jadual Kesembilan dan Perkara 113 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Pada Mei 2012, rang undang-undang tersebut dibentangkan pada sidang DUN, sebahagian usaha kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan.

Kerajaan negeri memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang enakmen itu akan berkuatkuasa pada 31 Januari 2013.

Bagaimanapun, kerajaan negeri tidak memperoleh sebarang komitmen daripada SPR bagi mengadakan pilihan raya untuk Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Perbadanan Seberang Perai.

 Pada 27 Jun tahun lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan kerajaan Pulau Pinang memulakan prosiding mahkamah mengenai petisyen bagi mencabar kesahihan peruntukan dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang menghalang badan perundangan negeri daripada mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan dalam sesuatu negeri.

Persoalan undang-undang tersebut ialah sama ada Parlimen mempunyai kuasa menggubal undang-undang berhubung pilihan raya kerajaan tempatan.

Dalam petisyen itu, kerajaan Pulau Pinang memohon perisytiharan Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 tidak sah kerana Parlimen bertindak melampaui kuasanya di bawah Perlembagaan Persekutuan dalam menggubal peruntukan tersebut.

Dinamakan pempetisyen ialah bekas presiden badan bukan kerajaan, Aliran, P. Ramakrishnan yang merupakan penduduk tempatan dan pembayar cukai kerajaan tempatan.

 Dalam petisyen itu, kerajaan negeri dan Ramakrishan berkata pilihan raya kerajaan tempatan yang diadakan di George Town pada 1951 dikendalikan oleh pihak berkuasa tempatan.
 
Mereka berkata Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang meluluskan Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Province Wellesley) 2012 pada 9 Mei 2012 dan mewartakannya pada 5 Julai 2012.

Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke Yee Ching berhujah Seksyen 15 adalah peruntukan yang sah.

Ia secara sah di bawah Perkara 76 (4) Perlembagaan menyatakan Parlimen boleh menggubal undang-undang berkenaan perkara di bawah kelolaan kerajaan negeri.

Kata Loke walaupun pilihan raya kerajaan tempatan di bawah kuasa dewan perundangan negeri, sekiranya undang-undang negeri bertentangan dengan undang-undang persekutuan, undang-undang negeri akan jadi tidak sah.

Ketua Menteri Lim Guan Eng yang berada di mahkamah memberitahu media, satu-satunya jalan keluar yang ada ialah meyakinkan Majlis Kerajaan Tempatan untuk mengadakan pilihan raya atau menunggu hingga ada perubahan di dalam kerajaan persekutuan.

"Kami cuba dan gagal, tapi kami hormati keputusan mahkamah," kata Lim, juga setiausaha agung DAP, dalam nada kecewa.

 Katanya, kerajaan negeri hendak memulangkan undi ketiga kepada pembayar cukai yang bantu mengekalkan kerajaan tempatan mereka.

"Mereka wajar mengundi ahli majlis dan datuk bandar mereka bagi memastikan kualiti hidup dalam bidang kuasa mereka," katanya. Pada masa ini, ahli majlis dan ketua kerajaan tempatan dilantik kerajaan negeri.

 Ramakrishnan berkata beliau tidak terkejut dengan keputusan itu apabila mendapat tahu hakim yang mendengar perbicaraan itu mendesak peguam Tommy Thomas mempercepatkan kes itu April lepas.

"Keputusan hari ini mengecewakan ramai rakyat Malaysia yang harapan mereka tidak dapat dipenuhi," katanya.

Tiada ulasan: