MALAYSIAKINI
Ekoran bantahan pemimpinnya di Pahang, PERKASA menjelaskan
tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang tetapi tidak
melarang mana-mana anggotanya menjadi calon.
Setiausaha agungnya Syed Hassan Syed Ali (bawah) berkata, PERKASA hanya akan mengadakan program memperjelaskan isu-isu tertentu bagi menyedarkan masyarakat Melayu agar tidak salah memilih parti.
“PERKASA tidak akan mengambil bahagian bertanding dalam pihan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yang Dipertua PERKASA Pahang dan kesemua 19 ahli jawatankuasa (AJK) di peringkat negeri dilapor meletak jawatan kelmarin selepas menghadiri satu mesyuarat tergempar.
Tindakan itu ekoran tidak bersetuju dengan tindakan kumpulan pendesak Melayu mengkaji keperluan mengambil bahagian dalam pilihan raya umum ke-14 sebagai “kuasa penawar”, lapor Sinar Harian.
Yang Dipertuanya Datuk Dr Abd Wahid Abd Manap dilaporkan berkata, perkara itu dimaklumkan melalui surat daripada ketua penerangan Perkasa Hassan Basri bertarikh 10 Julai.
Harian itu melaporkan Wahid sebagai berkata, mereka sentiasa menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tetapi tidak menjadi satu badan politik.
“PERKASA Pahang tidak dapat menerima sama sekali keputusan ini kerana perjuangan asalnya adalah untuk Islam, hak orang Melayu dan Institusi Raja-raja,” beliau dilapor sebagai berkata kepada media di Kuantan, kelmarin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan