Selasa, 12 Ogos 2014

PAS Selangor sokong Khalid dan mana-mana pengganti sah

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM:  Lima belas ADUN PAS memberi sokongan kepada Tan Sri  Khalid Ibrahim namun akan menyokong sebarang pengganti beliau daripada Pakatan Rakyat  asalkan ia mengikut tata cara betul serta mendapat perkenan Istana Selangor,  kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi. 
 
"Beliau (Khalid) adalah menteri besar yang sah, beliau dilantik mengikut undang-undang tubuh kerajaan negeri. Sekarang kalau ada pihak yang nak menggantikan menteri besar, kita akan sokong sesiapa pun daripada Pakatan Rakyat yang dipilih melalui proses yang sah dan betul," kata beliau kepada Antarapos. 
 
"...Sebab itu kita akan sokong sama ada namanya Tan Sri Khalid ataupun nama yang lain yang melalui proses dan perkenan daripada Tuanku, jadi kita akan sokong," tambah beliau. 
 
Khalid dipecat daripada PKR Sabtu lalu, sekali gus menjadikannya ADUN dan Menteri Besar bebas. 
 
Pagi tadi, Sultan Selangor bertitah bahawa Khalid kekal sebagai MB selepas menerima perakuan beliau bahawa dirinya (Khalid)  mempunyai sokongan majoriti dalam DUN Selangor sungguhpun ditolak oleh DAP dan PKR. 
 
Khalid kini bersandarkan kepada sokongan PAS yang mempunyai 15 ADUN.  Sungguhpun pucuk pimpinan PAS menyokong Khalid Jawatankuasa Pusat parti itu hanya akan membuat keputusan rasmi Ahad ini. 
  
"Walaupun belum bermesyuarat PAS tetap sokonglah. Ya, tetap sokong...(kenyataan Abdul Khalid) benar," kata Sallehen. 
 
Beliau berkata PAS Selangor memberikan sokongan bulat kepada Khalid kerana "beliau adalah menteri besar yang sah,(dan) dilantik mengikut undang-undang tubuh kerajaan negeri. 
 
Beliau bagaimanapun berkata PAS Selangor hanya akan memberikan sokongan kepada pengganti Khalid jika langkah itu selaras dengan undang-undang tubuh negeri. 
 
"Bila  berlaku proses pertukaran dan ganti menteri besar yang baru, kita akan sokong menteri besar melalui proses pertukaran yang sah," tambah beliau

Tiada ulasan: