Ahad, 3 Ogos 2014

PAS Selangor kesal dengan ugutan Tony Pua

Oleh Nur Shakira Buang

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: PAS Selangor hari ini menyatakan kekesalannya terhadap ugutan yang dilemparkan pemimpin DAP Tony Pua ketika Setiausaha Agungnya mengarahkan semua pemimpin PAS supaya jangan membuat sebarang kenyataan akhbar berhubung isu Menteri Besar Selangor. 
 
"Ahli-ahli PAS Selangor kesal dengan ugutan pemimpin DAP Tony Pua. Ugutan dibuat ketika Setiausaha Agung PAS mengarahkan semua pemimpin PAS supaya jangan membuat sebarang kenyataan akhbar. 
 
"Walau bagaimanapun ahli-ahli PAS di peringkat akar umbi tidak akan membiarkan PAS diserang begitu sahaja," kata sumber PAS melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
 
Menurut sumber itu lagi, Pua lupa bahawa kekecohan yang tercetus dalam PKR disokong oleh DAP dan bukan PAS.
 
Malah sehingga kini meskipun timbul kontroversi mahu menukar Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, PAS masih mahu beliau menguruskan negeri itu. 
 
"Tony Pua lupa bahawa yang mencetuskan kekecohan adalah PKR yang disokong oleh DAP dan bukan PAS. Mereka yang mahu menukar MB sehingga timbul kontroversi dan membuat rakyat mulai benci kpd Pakatan Rakyat. 
 
"Sementara Pas mahu Tan Sri Khalid Ibrahim terus menjadi MB dan kerajaan negeri terus stabil utk meneruskan kerja-kerja mereka tanpa gangguan.
 
"PAS Selangor mahu Tan Sri Khalid dikekalkan sebagai MB dan kerajaan negeri diberi peluang untuk meneruskan agenda-agenda yg telah dirancang," katanya.
 
Ujarnya lagi, ura-ura mahu mengadakan undi tidak percaya juga datangnya daripada PKR.
 
"PAS mahukan kestabilan tetapi PKR mencetuskan kontroversi.
 
"Ura-ura untuk diadakan undi tidak percaya pada sidang DUN juga datang dari PKR. Ia tidak datang dari PAS. Undi tidak percaya ini boleh mengakibatkan DUN dibubarkan. 
 
"Oleh itu kenapa hendak disalahkan PAS jika berlaku snap election (pengundian awal luar jangka)? PKR dan DAP yg mesti bertanggungjawab," jelasnya.
 
Sehubungan itu, PAS Selangor mahu rakan kompenan menghormati pendirian mereka sekali gus mengingatkan PKR dan DAP bahawa hubungan di dalam Pakatan Rakyat mestilah berdasarkan prinsip hormat menghormati.  
 
"Saya menggesa PKR dan DAP menghormati mandat rakyat pada PRU13 dan memberi sokongan kepada Tan Sri Khalid untuk terus berkhidmat sehingga PRU14. Masih terdapat ruang untuk penambahbaikan melalui perbincangan," ujarnya.
 
"Kami berharap pendirian PAS akan dapat dihormati oleh rakan-rakan Pakatan Rakyat yang lain.  
 
"Hubungan di dalam Pakatan Rakyat mestilah berdasarkan prinsip hormat menghormati. Bukan di atas prinsip ugut mengugut apabila terdapat parti yang tidak bersetuju dengan pendirian rakan-rakan yang lain," tegasnya.
 
Sumber terbabit berkata demikian mengulas ramalan DAP Selangor bahawa PAS berkemungkinan kalah teruk di Selangor jika parti itu keluar daripada Pakatan Rakyat dan menghadapi pilihan raya negeri mengejut jika bertegas mahu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikekalkan sebagai MB.
 
Selain itu, PAS Selangor menyifatkan dakwaan Pua bahawa terdapat dua blok di dalam DUN Selangor hanyalah berniat jahat.
 
"Dakwaan Tony Pua terdapat dua blok di dalam Dun Selangor iaitu blok PKR-DAP dan PAS-Umno berniat jahat kerana menyamakan Pas dengan Umno," jelasnya.
 
"Adakah PAS menjadi Umno semata-mata kerana tidak bersetuju dengan PKR dan DAP? soalnya.
 
"Ini bermakna tidak ada demokrasi di dalam Pakatan Rakyat. Pandangan dan kehadiran PAS tidak dihormati kerana PAS tidak boleh memiliki pandangan sendiri. 
 
"Kena menjadi Pak Turut. Oleh itu untuk mantapkan Pakatan, DAP dan PKR mesti menghormati PAS," tambahnya.

Tiada ulasan: