Ahad, 10 Ogos 2014

Pas Kini Semakin Mengecil

shahbudindotcom


Kemelut pertukaran jawatan Menteri Besar Selangor tidak pasti bila akan berakhir. Bagaimana ia akan berakhir juga masih sukar dijangka. Semuanya masih kabur dan tidak jelas. Sementara Khalid Ibrahim sedang diasak agar berundur dan kemungkinan akan dipecat daripada PKR, dalam masa yang sama beliau juga masih cuba bersilat untuk mempetahankan jawatannya.

Di ketika beliau sedang menangguhkan kehadirannya mengadap Lembaga Disiplin sehingga 15 Ogos depan, Khalid juga turut menghantar notis peringatan kepada lembaga itu agar tidak membincangkan kesnya dalam mesyuarat parti atau berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Daripada berbalas kenyataan, tuduh-menuduh, londeh-melondeh, pertikaian dalaman PKR kini sudah menaik setakuk lagi kepada peringkat mahkamah pula. Lantaran itu, jika kemelut ini menyebabkan PKR bergolak, berpecah dan semakin kehilangan sokongan rakyat, ia adalah sesuatu yang normal. Mereka yang buat, merekalah yang menanggungnya.

Tetapi amatlah malang, kemelut yang sepatutnya hanya melibatkan PKR saja telah turut sama menjerumuskan Pas ke lembah perpecahan. Hanya disebabkan tindakannya masuk campur mempertahankan kedudukan Khalid, Pas kini semakin ketara terbelah dua antara kumpulan ulama dengan profesional yang juga kerap digelar puak Erdogan atau Anwarinas.

Kumpulan ulama yang bermula dengan kenyataan Haji Hadi dan diikuti pendirian Majlis Syura Ulama, nyata terus mahu menyokong Khalid manakala kumpulan profesional lebih melihat pertukaran Menteri Besar Selangor adalah hak PKR dan terserah kepada parti itu berbuat demikian. Ditambah dengan kedudukan Khalid yang tidak lagi mendapat sokongan partinya sendiri dan isu penyelesaiaan hutangnya dengan Bank Islam yang diragui penyelesaiannya, kumpulan ini semakin kuat bersama sehati sejiwa dengan PKR.

Tidak saja Khalid Samad yang tegas meninta Khalid Ibrahim menjelaskan keraguan mengenai penyelesaiannya hutangnya itu supaya mudah difahami oleh lain-lain pimpinan Pas, bekas Menteri Besar Selangor yang kini menjadi ahli Pas, Muhammad Mohd Taib juga turut meminta Khalid tidak harus berlengah lagi daripada berundur kerana jawatan itu bukan harta pusakanya yang harus dipertahankan secara gila-gila.

Meskipun lain-lain pemimpin profesional dalam Pas banyak berdiam diri, mungkin serba-salah untuk memberikan kenyataan terbuka dan tidak mahu mengguris hati pimpinan ulama, tetapi adalah jelas melalui perbualan dengan beberapa kumpulan, mereka juga merasakan Khalid Ibrahim wajar berundur secara terhormat.

Lebih dari itu, akibat tidak cermat dalam menghalakan senapang oleh seorang AJK Pas Pusat, Nasharuddin Tantawi yang mengaitkan projek lebuhraya dasar laut di Pulau Pinang oleh kerajaan pimpinan DAP dalam usahanya mahu mempertahankan Khalid Ibrahim, telah mengundang kemarahan Lim Guan Eng dah kes ini juga bakal berkesudahan sehingga ke mahkamah.

Hakikatnya, hanya kerana mahu mempertahankan Khalid Ibrahim, Pas bukan saja mulai berpecah, malah hubungan dengan PKR dan DAP juga tidak lagi seharmoni dulu. Jika ini berlarutan, risiko untuk Pas kembali menjadi parti yang kembali mengecil serta hanya bertapak di negeri-negeri tertentu dan di kelompok Melayu saja adalah sangat besar.

Jika diimbas sejarah, walaupun Pas sudah lama ditubuhkan tetapi kekuatannya di negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan lain-lain tidaklah sekuat mana serta sentiasa betsaing dengan UMNO. Ketika UMNO tidak bergolak, Pas dalam beberapa kali pilihanraya gagal menawan Kelantan, Terengganu dan Kedah serta gagal pula bertapak di beberapa negeri yang mempunyai pengundi campuran.

Pas hanya berjaya menumbangkan BN di Kelantan pada 1990 dengan bantuan Semangat 46 melalui persefahaman Angkatan Perpaduan Ummah. Kemudian Pas berjaya menumbangkan BN di Terengganu dalam pilihanraya 1999 selepas Anwar dipecat pada 1998. Sebelum itu, walaupun UMNO Terengganu dipimpin oleh Wan Mokhtar yang dikira lemah dan tidak pandai berpolitik, tetapi Pas gagal menumbangkannya.

Di Kedah dan Perak, Pas berpeluang menjadi tunjang kerajaan negeri pada 2008 adalah kerana bantuan daripada PKR dan DAP melalui pertambahan mendadak sokongan pengundi bukan Melayu. Begitu juga berjayanya Pas bertapak dan menang banyak kerusi di Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan lain-lain adalah kerana sokongan pengundi bukan Melayu.

Di ketika Pas berhadapan dengan cabaran getir daripada UMNO untuk meraih sokongan pengundi Melayu berikutan UMNO mempunyai sumber kewangan yang kukuh untuk membeli undi atau seperti kata Perdana Menteri, "I help u, u help me", sokongan mantap pengundi bukan Melayu yang mahukan perubahan telah memberi rezeki terpijak kepada Pas.

Sokongan pengundi bandar juga meningkat kepada Pas melalui wibawa dan ketrampilan yang ditunjukkan oleh golongan profesional dalam parti itu. Jika semata-mata bersandarkan pimpinan ulama dan kerap pula melabelkan golongan lain sebagai kafir, taghut, assabiyah serta tanpa kesedian pengundi bukan Melayu memberikan sokongan, Pas tidak mungkin menikmati kedudukan seperti hari ini.

Memahami bahawa komposisi pengundi Melayu hanyalah 65 peratus dan 35 peratus lagi bukan Melayu serta UMNO yang masih berkuasa di Pusat dan mempunyai sumber kewangan kukuh lebih dominan di banyak kawasan Melayu, Pas akan kembali ke zaman suramnya seperti sebelum ini jika hanya hanya bergerak sendirian atau tanpa sokongan parti-parti lain.

Kini, melalui kemelut yang hanya berpunca daripada kedegilan Khalid Ibrahim yang sebenarnya sudah kehilangan sokongan akar umbi di cabang Kuala Selangor serta gagal pula merebut jawatan Timbalan Presiden, Pas paling berisiko menerima kerugian paling banyak sekali.

Ia mulai berpecah, berbalah dengan PKR, bermasam muka dengan DAP dan dalam masa yang sama Haji Hadi yang dulunya disanjung serta digeruni, turut mulai diperlekeh oleh ahlinya sendiri. Kehilangan sokongan pengundi bukan Melayu dan pengundi bandar juga tidak mustahil akibat daripada kemelut ini.

Jika terpaksa keluar meninggalkan PR, nasib Pas tentulah lebih malang lagi.

Bukankah jika ia tidak masuk campur dalam kes Khalid sejak awal lagi, semua itu boleh dielakkan?

Tiada ulasan: