MALAYSIAKINI
MP PAS Nasrudin Hassan berkata dakwaan Lim Guan Eng bahawa
beliau membuat kenyataan fitnah dan bohong ke atas ketua menteri Pulau
Pinang itu adalah tidak berasas.
Dalam jawapannya kepada Lim hari ini, anggota jawatankuasa pusat PAS itu
menjelaskan bahawa beliau menimbulkan dakwaan berhubung projek terowong
dasar laut itu untuk menunjukkan seolah-olah wujud layanan istimewa ke
atas ketua menteri itu.
Sedangkan, di Selangor, menteri besarnya Tan Sri Khalid Ibrahim cuba
dijatuhkan dengan menggunakan isu projek pembinaan lebuh raya Kidex,
kata Nasrudin.
“Kenyataan
saya tempoh hari sekadar mempersoalkan kenapa wujudnya perbezaan sikap
pada segelintir pimpinan Pakatan Rakyat sewaktu menjadikan isu Kidex
sebagai justifikasi untuk menjatuhkan Tan Sri Khalid Ibrahim di
Selangor.
“Sedangkan di hadapan kita terdapat juga isu seperti Projek Pembinaan
Terowong Dasar Laut di Pulau Pinang yang tidak kurang kontroversinya.
“Seolah-olah terdapat sikap pilih kasih dan menangguk di air keruh demi mencapai matlamat tertentu yang sempit.
“Justeru itu dakwaan kononnya saya melakukan fitnah dan pembohongan
adalah tidak berasas sebagaimana yang disebut oleh YAB Ketua Menteri
Pulau Pinang Lim Guan Eng,” katanya.
Beliau turut mempertahankan dakwaannya bahawa kontrak projek terowong
itu dianugerahkan secara rundingan terus kerana ia “tidak mengamalkan
tender terbuka sepenuhnya dalam ertikata sebenar”.
MP Temerloh itu seterusnya membangkitkan mengenai urutan peristiwa
melibatkan penjanjian persefahaman (MoU) dan proses tender untuk projek
berkenaan.
“Bagaimana Kerajaan Pulau Pinang boleh menandatangani MoU [disaksikan
YAB PM (Datuk Seri) Najib Razak] dengan Beijing Urban Construction Group
Co Ltd salah satu rakan utama konsortium yang memenangi projek Penang
Tunnel ini pada 28 April 2011 sedangkan proses prapenilaian tender
kerajaan negeri hanya bermula lebih 6 bulan selepas MoU iaitu pada 14
November 2011?
“Apakah kerajaan Pulau Pinang sebenarnya sudah memilih pemenang kontrak mega ini sebelum proses tender bermula?
“Saya kira sesiapa sahaja yang biasa dengan resam perlaksanaan kontrak
dan projek boleh merumuskan bahawa ini bukanlah satu proses tender
terbuka.
“(Ini kerana) Seolah-olah BUCG telah mendapat keistimewaan lebih awal
sebelum proses tender dilakukan apabila telah wujud MoU pada April
2011,” katanya lagi.
Beliau menjawab ancaman Lim semalam yang mahu beliau menarik balik tuduhan "bohong" tersebut, atau berdepan tindakan saman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan