Jumaat, 22 Ogos 2014

MH17: Lebih 1,000 orang tunai solat jenazah untuk Ahmad Hakimi dan Nur Shanaza

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
 
SHAH ALAM: Lebih 1,000 orang menunaikan solat jenazah bagi dua anak kapal MH17, Allahyarham Ahmad Hakimi Hanapi serta Allahyarhamah Nur Shazana Mohamed Salleh di Masjid Putra di sini, sebentar tadi.
 
Solat jenazah berkenaan diimamkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Dr Zulkifli Al Bakri.
 
MH17: Jenazah Nur Shazana selamat dikebumi di Putrajaya.
 
Jenazah pembantu juruterbang MH17, Ahmad Hakimi Hanapi pula selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Persint 20 kira-kira 3:00 petang tadi selepas solat Jumaat.
 
Manakala Noor Rahimmah penumpang dari Ipoh selamat dikebumikan di Kampung Masjid Lama Tambun Ipoh jam 3:10 petang. 
  
Majlis turut dihadiri keluarga dan Menteri Kewangan Kedua yang juga Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
 
Jenazah sebelum itu disembahyangkan sebanyak tiga kali bermula di kediaman keluarganyanya di Kampung Melayu Rizab, sebelum dibawa ke Masjid Al Amin Tambun dan disembahyang sekali lagi oleh jemaah Solat Jumaat dan yang terakhir disembahyangkan di Masjid Lama Tambun sebelum majlis pengebumian bermula jam 2.30 petang.
 
Empat jenazah mangsa nahas tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 lagi selamat tiba di Pusat Peringatan Nirvana di Sungai Besi sekitar jam 12.50 tengah hari.
 
Empat jenazah berkenaan ialah Foo Ming Lee, Ng Qing Zheng dan pasangan suami isteri, Paul Rajasingam Sivagnanam dan Mabel Anthony Samy.
 
Ketibaan kesemua jenazah diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Wee Ka Siong dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr J Loga Bala Mohan.
 
Pihak Nirvana memaklumkan bahawa mendiang Foo akan melalui upacara keagamaan selama dua hari bermula hari ini di pusat peringatan berkenaan sebelum upacara pembakaran mayat dilaksanakan di Taman Peringatan Nirvana Shah Alam pada Ahad.
 
Sementara itu, mendiang Ng akan disimpan semalaman di pusat peringatan berkenaan sebelum dihantar ke kediamannya di Kota Kemuning, esok.
 
Jenazah dua daripada enam beranak yang maut dalam nahas MH17, Allahyarhamah Ariza Ghazalee, 46 dan anak sulungnya, Allahyarham Muhamad Afif, 19, selamat tiba di perkarangan Masjid Jamek, di sini, tepat jam 3.22 petang tadi.
 
Selain Ariza dan Muhamad Afif, turut terkorban suami Ariza, Tambi Jiee, 48, dan tiga anaknya yang lain iaitu Muhamad Afzal Tambi, 17, Marsha Azmeena Tambi, 15, dan Muhamad Afruz Tambi, 13.
 
Kira-kira 1,000 jemaah terdiri daripada ahli keluarga mangsa, sahabat handai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menanti kedatangan kedua-dua jenazah selepas berakhir Solat Jumaat, lebih dua jam lalu.
 
Turut kelihatan Yang diPertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dan barisan Kabinet negeri termasuk Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem.
 
Jenazah kedua-duanya akan disembahyang dengan diketuai Imam Besar Masjid Jamek, Datuk Joji Suhaili dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang, di sini, difahamkan sejurus selesai Solat Asar dalam satu liang lahad.
 
Jenazah pramugari pesawat MH17, Dora Shahila Kassim kemudiannya  selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Damansara pada kira-kira jam 3.30 petang tadi.
 
Talkin dan bacaan doa disempurnakan Iman Masjid At-Taqwa, Muhd Ghazali Mohamed Nor.
 
Lebih 500 orang ramai terdiri daripada ahli keluarga, kenalan dan wakil Malaysia Airlines (MAS) termasuk penyanyi, Datuk Mohd Shukru Sahabuddin atau Hattan turut hadir pada upacara pengebumian berkenaan.
 
Di Segamat pula jenazah Hasni Hardi Parlan, 32, disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Lapan Kampung Batu Paya Luas, Batu Anam, dekat sini, kira-kira jam 3.30 tadi.
 
Jenazah anak kapal MH17, Allahyarham Hamfazlin Sham Mohamed Arifin, 38, dikebumikan  di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Kl-Karak, Taman Batu Batu jam 3:10 petang tadi.
 
Untuk rekod, pesawat khas Malaysia Airlines yang membawa 20 jenazah rakyat Malaysia mangsa tragedi MH17, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Sepang jam 9.54 pagi ini.
 
Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Schiphol Amsterdam jam 9.40 malam tadi untuk penerbangan selama 12 jam ke Kuala Lumpur, membawa kumpulan pertama jenazah dalam 17 keranda dan tiga dalam kendi berisi abu mayat.

Tiada ulasan: