Sabtu, 23 Ogos 2014

MH17: 'Jumpa kamu di syurga'

SALMIYAH HARUN 



 


SEPANG: Waris mangsa Pembantu Juruterbang Pesawat MAS MH17 Ahmad Hakimi Hanapi yang berasal dari Kelantan melahirkan rasa syukur, akhirnya jenazah Allahyarham dapat di bawa balik ke Putrajaya.

Salah seorang bapa saudaranya Amran Daud, 50,  yang turut menyambut ketibaan jenazah Hakimi menerima kejadian yang menimpa ahli keluarganya dengan pasrah atas ketentuan ilahi.

Beliau juga berterima kasih kepada kerajaan yang menguruskan jenazah Mohd Hakimi sehingga Allahyarham tiba ke pangkuan keluarga.

"Perasaan sedih dikalangan kami sukar untuk disembunyikan tetapi kami redha dengan apa yang berlaku,"katanya.

Amran merupakan salah seorang ahli keluarga yang ke Amsterdam bagi menuntut jenazah Hakimi sebelum ini.

Menurut beliau, jenazah Allahyarham Hakimi antara yang dalam keadaan sempurna.

"Saya sempat ke Amsterdam, jenazah Allahyarham masih lengkap dan baik. Saya sempat melihatnya," katanya.

Hampir 30 ahli keluarganya turut serta untuk sama-sama memberi penghormatan negara serta mengiringi jenazah Hakimi untuk dibawa ke Putrajaya.

Pihak keluarganya juga akan mengadakan majlis tahlil  di kediaman mentua Allahyarham di Taman Tun Doktor Ismail dan di rumah Allahyarham di Putrajaya.

Kebanyakan mereka memakai t-shirt hitam yang tertera "Co-pilot Ahmad Hakimi Hanapi. MH17, 17.7.2014 "see you in jannah".- HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: