Ahad, 24 Ogos 2014

MH17: Identiti seorang lagi rakyat Malaysia dikenal pasti

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
 
SEPANG: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memaklumkan, seorang lagi mangsa tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai lalu telah dikenal pasti.
 
Beliau berkata, perkembangan terbaru itu menjadikan jumlah mangsa rakyat Malaysia yang telah dikenal pasti sebanyak 31 orang.
 
Menurut Liow, kerajaan juga sedang mengatur untuk membawa balik kumpulan ketiga jenazah mangsa MH17 pada 30 Ogos ini.
 
"Kami akan terus mengemas kini maklumat kepada orang awam untuk ketibaan jenazah dari semasa ke semasa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi bagi kumpulan kedua MH17 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini, hari ini.
 
Ditanya sama ada usaha membawa pulang kesemua mangsa warga Malaysia boleh dilakukan sebelum Hari Malaysia pada 16 September, Liow berkata ia masih tidak dapat disahkan lagi kerana perlu mendapat pelepasan daripada pihak Belanda.
 
"Kita masih tidak boleh mengesahkan lagi. Kita tidak tahu sama ada pihak Belanda boleh mengenal pasti kesemua jenazah," katanya.
 
Jumaat lepas, kumpulan pertama 20 jenazah yang melibatkan 11 penumpang dan sembilan anak kapal dibawa pulang dari Amsterdam dengan sebuah pesawat khas.
 
Hari ini, kumpulan kedua melibatkan tiga mangsa tragedi tiba di tanah air, dan dua daripadanya diberi penghormatan dalam istiadat ringkas namun penuh penghormatan.
 
Bagaimanapun satu jenazah yang dibawa balik hari ini tidak mengikuti istiadat penghormatan atas permintaan keluarga yang mahukan privasi.
 
Liow berkata kerajaan menghormati permintaan waris dan keluarga yang mahukan privasi dan tidak terlibat dalam istiadat penghormatan.
 
"Kami sedar terdapat keluarga yang mahukan privasi...Apa yang kami aturkan adalah mengikut permintaan keluarga," katanya.
 
Liow berkata kos pengurusan membawa pulang jenazah warga Malaysia dibiayai Malaysia Airlines.
 
Pesawat MH17, dengan 298 penumpang dan anak kapal termasuk 43 warga Malaysia, terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
 
Pesawat Boeing 777-200 itu ditembak jatuh di zon bergolak itu namun sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab.

Tiada ulasan: