Ahad, 17 Ogos 2014

Mat Sabu: Keputusan Majlis Syura PAS sokong Khalid terbatal

Oleh Nur Atiqah Abd Samad, Shuhaniza Said dan Shawaliah Hadir
Post Pic


KUALA LUMPUR: Keputusan Majlis Syura PAS mahukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor “terbatal” setelah beliau dipecat oleh PKR.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata ekoran pemecatan itu, PAS sebulat suara bersetuju mencalonkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya Azmin Ali untuk jawatan itu.
 
"Itu (Keputusan Majlis Syuara) tak berbangkit sebab Khalid sudah dipecat partinya," kata Mat Sabu selepas mesyuarat tiga jam AJK PAS Pusat.
 
"Dia kena pecat, kita tahaluf dengan parti bukan individu," jelas Mat Sabu pada sidang media.
 
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak hadir pada sidang media itu.
 
Antara yang turut serta menjawab soalan wartawan adalah Ketua Penerangan, Datuk Mahfuz Omar; Naib Presiden, Salahudin Ayub; Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Samad.
 
Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat akan bermesyuarat petang ini untuk menimbangkan permohonan PAS supaya selain Wan Azizah, nama Azmin turut dikemukakan untuk perkenan Sultan bagi mengisi jawatan MB itu.  
 
Minggu lalu Sultan Selangor memberi mandat untuk terus menjadi MB setelah Khalid memberikan perakuan beliau masih mempunyai sokongan majoriti dalam DUN Selangor.
 
Khalid kemudian bertindak memecat semua enam exco PKR dan DAP namun mengekalkan empat exco PAS dan berharap kepada sokongan 15 ADUNnya untuk berpaut kepada kuasa.   
 
Namun PAS kini mengambil keputusan ia bersetuju untuk Khalid digantikan tetapi mahukan PKR untuk turut mencalonkan Azmin, selain Azizah sebagai calon MB kepada Istana Selangor.  
 
Majlis Pimpinan Pusat PKR sebelum ini menetapkan hanya nama Azizah akan dikemukakan kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah.
 
Dua hari lalu, Azizah mengisytiharkan beliau mempunyai sokongan 30 daripada 56 ADUN Selangor termasuk dua daripada PAS.
 
Selain dua wakil PAS itu, 13 ADUN PKR termasuk Azmin dan 15 ADUN DAP turut memberikan sokongan kepada Azizah. 
 
Mohamad Sabu ketika ditanya berkata, PAS akan menyiasat dua ADUNnya itu.
 
"Kita akan siasat dan akan buat pemeriksaan (untuk ketahui) mengapa jadi begitu. (Bagaimanapun) Benda itu tidak berbangkit sebab kita sudah sokong Azizah," katanya.
 
Keputusan PAS hari ini bermakna Khalid hanya dapat bergantung kepada sokongan 12 ADUN Umno dalam DUN Selangor.
 
PAS sebelum ini menolak Azizah sebagai calon MB dan menyatakan sokongan kepada Khalid ekoran ADUN Pelabuhan Klang itu tidak terlibat dalam sebarang aktiviti penyelewengan sepanjang menerajui Selangor.
 
Bagaimanapun sokongan itu dibuat sebelum Khalid dipecat daripada PKR. Khalid dipecat kerana enggan memberi laluan kepada Azizah untuk menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu.

Tiada ulasan: