Jumaat, 8 Ogos 2014

Majlis Syura Ulama PAS tolak Azizah jadi MB Selangor

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 


PETALING JAYA: Majlis Syura Ulama PAS menyatakan pendirian menolak cadangan PKR untuk melantik Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Pendirian itu dinyatakan beberapa hari sebelum Jawatankuasa PAS Pusat mengadakan mesyuarat khas bagi mencapai kata sepakat sama ada mahu menyokong atau tidak Azizah sebagai pengganti Tan Sri Khalid Ibrahim.
 
Menerusi kenyataan yang ditandatangani Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan timbalannya, Datuk Dr Haron Din, badan itu membuat keputusan untuk mengekalkan Khalid selagi beliau tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah.
 
"Keputusan ini dibuat berasaskan hukum syarak dan melihat kepentingan rakyat yang mesti mendahului kepentingan individu dan parti.
 
"Maka selagi (Abdul Khalid) tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah yang mewajarkan menteri besar itu digugurkan, Majlis Syura Ulamak PAS memutuskan untuk mengekalkan beliau sebagai Menteri Besar Selangor," demikian menurut kenyataan itu pada Khamis.
 
Keputusan itu dibuat menerusi mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS di Kota Bharu pada Selasa.
 
Bagaimanapun, badan itu menegaskan bahawa mereka sedia menilai kembali kedudukan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor sekiranya wujud pertuduhan dan disabitkan bersalah oleh pihak berkuasa.

Tiada ulasan: