MALAYSIAKINI
Tiga lagi jenazah warganegara Malaysia mangsa nahas pesawat Malaysia
Airlines (MAS) MH17 mungkin dibawa pulang ke tanah air Ahad ini.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai berkata setakat ini
hanya dua jenazah telah mendapat pelepasan pulang manakala satu lagi
masih menunggu pengesahan pihak berkuasa Belanda.
"Ketika ini disahkan dua mayat, satu Islam dan satu lagu bukan Islam.
Diharapkan tiga mayat itu akan tiba pagi Ahad ini, tetapi akan disahkan
esok.
"Jenazah satu lagi masih kena diselesaikan pendokumentasi dan harap
dipercepatkan supaya boleh dibawa balik Ahad ini," katanya dalam sidang
media di Pusat Peringatan Nirvana di Sungai Besi hari ini.
Turut hadir dalam sidang media itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Datuk Wee Ka Siong dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr J
Loga Bala Mohan.
Liow berkata senarai nama penumpang dan maklumat lanjut berhubung
penghantaran pulang jenazah tersebut akan diumumkan kepada media esok.
Beliau berkata kerajaan tidak pernah melewat-lewatkan urusan membawa
pulang jenazah mangsa nahas MH17 namun proses pelepasan perlu melalui
pelbagai peringkat dan mengambil masa.
Liow berkata ini kerana pelbagai ujian padanan, DNA dan bedah siasat
perlu dilakukan sebelum mayat mangsa diserahkan bagi tujuan pengurusan
jenazah serta proses penghantaran pulang ke tanah air.
Selepas sidang media itu, Liow turut meluangkan masa memberikan
penghormatan terakhir kepada empat jenazah bukan Islam mangsa nahas MH17
yang melalui upacara keagamaan di Pusat Peringatan Nirvana, Sungai
Besi.
Empat jenazah itu ialah Foo Ming Lee, Ng Qing Zheng dan pasangan suami isteri Mabel Anthony Samy dan Paul Rajasingam Sivagnanam.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan