Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Pelantikan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu akan mengundang lebih banyak
masalah berbanding kebaikan terhadap rakyat negeri ini.
Penganalisis politik Profesor Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata
pentadbiran Wan Azizah kelak akan dibayangi suaminya Datuk Seri Anwar
Ibrahim.
Malah tidak mustahil peristiwa serah kuasa sebagaimana yang terjadi di
Permatang Pauh suatu masa dahulu akan berulang kembali, sekiranya Anwar
didapati bebas daripada sebarang hukuman mahkamah.
"Kita tahu bahawa Wan Azizah bukan seorang 'willing-politician'. Beliau
banyak mengambil tempat Anwar apabila Anwar dijatuhkan hukuman,
dipenjarakan dan tidak dibenarkan bertanding dan sebagainya.
"Oleh kerana beliau telah melalui pelbagai peristiwa di mana masalah
yang timbul seperti di Permatang Pauh apabila beliau terpaksa
bertanding. Apabila Anwar dah dapat kelayakan, beliau terpaksa letak
jawatan dan beri ruang kepada Anwar untuk bertanding.
"Ini adalah rentetan peristiwa bahawa apabila meletakkan Wan Azizah
akan beri banyak masalah berbanding kebaikan kepada masyarakat
Selangor," ujarnya kepada Antarapos, sebagai mengulas keputusan Pakatan
Rakyat yang mahu mengangkat Wan Azizah untuk menggantikan Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim.
Wan Azizah baru-baru ini memberitahu telah menghantar surat memohon
menghadap Sultan Selangor untuk kali kedua bagi memaklumkan dirinya
mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor.
Terdahulu Sultan Sharafuddin Idris Shah menolak permohonan mengHadap Wan Azizah.
Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (MPPR) sebulat suara bersetuju mengekalkan nama Wan Azizah sebagaI calon menggantikan Khalid.
Bagaimanapun Marthada menyelar kemampuan ADUN Kajang itu untuk
mentadbir negeri apatah lagi Wan Azizah sendiri mengakui tidak mempunyai
pengalaman mengurus tadbir sesebuah negeri dan mengharapkan sokongan
sebuah pasukan manta untuk membantunya menguruskan Selangor.
"Apakah dengan kurangnya pengalaman dari sudut mentadbir sama ada
sektor awam atau swasta itu akan menyebabkan Wan Azizah boleh jadi MB
yang baik? Pada saya tidak.
"Apabila seseorang itu tiada pengalaman dan kredibiliti yang pada saya
sifatkan penting, maka mungkin nanti beliau mudah dimanipulasi. Kita
tahu pelantikan Khalid sebelum ini dibuat atas dasar latar belakang
beliau menerajui bidang korporat," demikian menurutnya.
Ramai pihak beranggapan Wan Azizah akan melalui cabaran untuk
memastikan legasi yang ditinggalkan Khalid kelak mampu diuruskan dengan
baik.
PKR memaksa Khalid meletakkan jawatan ekoran sikapnya yang sering
membelakangkan parti dan didakwa tidak lagi berwibawa kerana dikatakan
terbabit dengan beberapa urusniaga yang meragukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan