MALAYSIAKINI
Peguam kanan Tan Sri Cecil Abraham dijangka akan dihadapkan ke
Lembaga Tatatertib Peguam-Peguam dalam pendengaran yang akan turut
melibatkan kemunculan seorang saksi misteri.
Saksi tersebut dijangka akan memberi kenyataan bersama peguam kepada
mendiang penyiasat persendirian P Balasubramaniam, Americk Sidhu.
Saksi misteri tersebut dispekulasikan sebagai peguam pertama yang diminta untuk menderaf pengakuan tersebut.
Pendengaran itu adalah berhubung tuduhan salahlaku dihadapi Cecil dan
anaknya, Sunil dalam menderaf pengakuan berkanun kedua oleh
Balasubramaniam.
Dalam dokumen tersebut, Balasubramaniam menafikan bahawa Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Razak mengenali wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Balasubramaniam dalam pengakuan berkanunnya yang pertama mendakwa Najib mengenai dan mempunyai hubungan dengan Altantuya.
Dua orang anggota Unit Tindakan Khas polis, Cif Insp Azilah Hadri dan
Kpl Sirul Azhar Umar didakwa dan didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi
Shah Alam atas tuduhan membunuh Altantuya, manakala penganalisis politik
Abdul Razak Baginda, yang merupakan bekas penasihat Najib, dibebaskan.
Bagaimanapun, kedua-duia anggota polis tersebut dibebaskan oleh Mahkamah
Rayuan tahun lalu dan rayuan pihak pendakwaan masih berlarutan di
Mahkamah Persekutuan.
Americk, yang membantu menderaf pengakuan berkanun Balasubramaniam yang
pertama mendedahkan dalam mesyuarat agung Majlis Peguam pada tahun lalu
bahawa Cecil mengaku menderaf SD kedua atas arahan Najib.
Ini menyebabkan Lembaga Tatatertib Peguam-Peguam menjalankan inkuiri bebas ke atas Cecil.
Keluarga Balasubramiam juga memfailkan saman RM1.9 juta di Mahkamah
Tinggi Kuala Lumpur, dan menamakan Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah
Mansor serta dua orang adik Najib serta Cecil dalam saman tersebut.
Saman tersebut dikemukakan berdasarkan maklumat yang diperolehi oleh Americk.
Kesemua pihak yang disaman oleh balu Balasubramaniam itu mengemukakan permohonan untuk mengenepikan saman berkenaan.
Peguam kanan Bastian Vendargon dijangka akan mewakili Majlis Peguam
dalam pendengaran ini. Beliau menggantikan peguam terdahulu, Lambert
Rasaratnam.
Lembaga disiplim itu dipengerusikan oleh bekas hakim Mahkamah Rayuan,
Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad, serta 15 orang anggota lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan