Ahad, 10 Ogos 2014

Jika ayam tidak berkokok, hari akan siang juga

ASPAN ALIAS


Saya amat yakin yang untuk mendapatkan pembaharuan dan kebaikan, kita perlu melalui yang terburuk. Apabila keadaan menjadi terlalu buruk maka kebaikan akan mendatang. Apa hikmah yang akan mendatang yang Maha Mengetahui sahaja yang tahu. Bagi kita yang penting ialah untuk mencari jalan dan penyelesaian yang terbaik bukan sahaja untuk diri kita, ia juga yang terbaik bagi negara dan rakyat yang ramai.

Isu di Selangor tentunya salah satu dari perkara yang saya sebutkan tadi. Mesti ada yang kecundang, malahan apa yang berlaku kini membolehkan pembersihan diri bagi pemnimpin-pemimpin yang sedang bergolak sesama sendiri sekarang ini.

Besok kita akan mendengar apa keputusan PAS dalam menentukan sikapnya berhubung dengan isu yang di hadapi oleh Pakatan Rakyat Selangor. Jika di nilai dari keputusan awal, Dewan Ulamak PAS tetap tegas dengan keputusan untuk mengekalkan Khalid sebagai Menteri Besar dan ia perlu di hormati oleh ahli-ahlinya terutamanya dikalangan Ahli-Ahli Dewan Undangan negerinya di Selangor.

Amat janggal jika PKR meminta semua ADUNnya taat dan setia kepada parti maka tentulah tidak menyalahi moral jika ADUN-ADUN dan ahli-ahli PAS juga menghormati kepimpinan partinya itu. PAS sudah biasa bersendirian dan parti itu masih wujud, malahan PAS tidak lagi parti yang bertompok-tompok sokongannya tetapi parti itu berada di mana-mana dalam Semenanjung Malaysia ini.

PAS nampaknya tegas dengan pendirian dan ia tetap akan mengambil keputusan berdasarkan kepada keputusan yang di ambil oleh Dewan Ulama nya. PKR tidak boleh marah dengan keputusan itu kerana dalam politik ini banyak keputusan di ambil bukan setakat dengan apa yang tersurat, tetapi yang lebih baik lagi ialah keputusan yang berdasarkan apa yang tersirat.

DAP dan PKR mungkin mengkritik PAS kerana tidak bersama dalam isu Khalid ini, tetapi PAS juga boleh memberikan alasan yang ahli-ahli Pakatan Rakyat juga wajar menghormati apa yang diminta oleh PAS. Jika tidak bertemu keserasian diantara kedua pihak berpisah bukannya tindakan yang tidak baik. Jika tidak mahu pertelingkahan yang berterusan maka perpisahan itu adalah wajar berlaku.

Dalam isu Selangor ini tidak ada pihak yang sepatutnya memaksa mengambil keputusan yang berat bagi PAS untuk mengambilnya. Walaupun banyak keputusan yang di ambil oleh PAS dalam banyak hal tidak berapa selesa, tetapi adalah tidak betul memaksa PAS membuat keputusan yang tersangat berat bagi PAS untuk bersama. Tekanan terhadap PAS oleh Anwar begitu kuat sehinggakan PAS sendiri terutamanya dikalangan ulama PAS sudah sampai ketahap yang mereka tidak dapat menerimanya lagi.

PAS tidaklah begitu tegas terhadap kemahuan Anwar ini, malahan selama ini PAS telah memberikan Anwar begitu banyak laluan dalam banyak perkara. Tetapi jika PKR dan Anwar mengambil kelembutan PAS itu sebagai kelemahan yang boleh di ambil kesempatan, itu adalah satu sikap yang sangat tidak bermoral. Hanya kali ini PAS mengambil keputusan dengan tegas takkan lah sampai menganggap PAS sebagai pengkhianat kepada Pakatan Rakyat pula.

Apa yang Anwar sebenarnya mahukan? Sesungguhnya PAS juga ada maruahnya dan pimpinan mereka juga ada yang berkualiti yang tidak mempunyai masalah peribadi. Sampai bila Anwar mahu menggunakan orang lain untuk menyelesaikan masalah peribadi beliau?

PKR menggunakan isu-isu yang tidak begitu betul secara ‘expedient’ bagi menghalalkan tindakan mengenepikan Khalid. Jika Khalid mempunyai isu seperti yang di sebut oleh PKR dan Anwar sendiri, Anwar juga mempunyai masalah yang besar dan telah diputuskan oleh Mahkamah. Isu terhadap Khalid belum pun di tentukan salah benarnya seperti yang di sebut oleh Majlis Syura PAS.

Tetapi isu yang dihadapi oleh Anwar sudah nyata kesalahan Anwar. Buat setakat ini Anwar telah di dapati bersalah dalam isu sodominya. Keputusan Mahkamah itu rasmi. Anwar hanya akan terlepas jika Mahkamah Persekutuan melepaskan beliau dari tuduhan itu. Pakatan Rakyat sepatutnya selesaikan masalah yang di hadapi oleh Anwar dari mencari masalah terhadap orang yang belum di tentukan kesalahanya.

Tetapi kumpulan ini menuduh keputusan mahkamah itu sebagai ‘conspiracy’ politik terhadap beliau. Semua yang terkena kepada Anwar itu adalah ‘conspiracy’ politik. Apa yang di tuduh terhadap UMNO itu benar. Tuduhan Anwar yang UMNO menggunakan 40,000 pengundi haram dari Bangladesh itu benar dan apa sahaja tuduhan terhadap beliau itu adalah ‘conspiracy’ politik. Semua orang berniat jahat kepada beliau dan semua niatnya adalah niat yang baik-baik yang halal dan toyibah.

Manusia ada juga batasan kesabarannya apabila menghadapi sikap dan kelakuan pemimpin seperti ini. Pemimpin-pemimpin yang lain tidak ada kerja dan tugasan lain selain dari menyelesaikan masalah peribadi beliau sahaja.

Semua pihak sepatutnya menumpukan pembetulan yang sangat terdesak hasil dari kerakusan UMNO dengan kuasa sekarang ini.  Jika Pakatan Rakyat berhajat untuk menjadi barisan ‘alternative’ adalah penting orang yang menerajui pimpinan ‘alternative’ itu keluar dalam keadaan yang bersih dari banyak masalah peribadinya.

Pemimpin yang sarat dengan masalah peribadi tidak akan mengambil keputusan dengan tepat kerana semua keputusannya terpaksa memasukkan agendanya sendiri. Kalau tiada Anwar tidak semestinya perjuangan tidak akan mendapat rahmat. Yang baik akan tetap mendatang, hanya menunggu masanya sahaja kerana masa untuk berjumpa dengan penyelesaian itu di tentukan oleh Yang Maha Penentu.
Kata orang, jika ayam tidak berkokok hari tetap akan siang juga.

Tiada ulasan: