Khamis, 7 Ogos 2014

'Hari penentuan' nasib MB Khalid Ahad ini

MALAYSIAKINI



 


Kedua-dua PAS dan DAP akan mengadakan mesyuarat kepimpinan tertinggi masing-masing pada 10 Ogos ini untuk memutuskan sama ada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu kekal sebagai menteri besar Selangor.

Mesyuarat jawatankuasa pusat PAS yang akan diadakan di ibu pejabat parti itu pada 10 pagi Ahad ini, sangat penting kerana DAP telahpun memberi sokongan bagi seorang wanita dilantik menggantikan Khalid, jelas merujuk kepada calon pilihan PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Jika PAS memutuskan untuk menyokong Khalid kekal sebagai menteri besar, maka masalah besar akan timbul dalam krisis yang sudah pun berlarutan.

Ia memungkinkan berlaku perpecahan dalam Pakatan Rakyat, walaupun  Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bertegas bahawa penentangan PAS terhadap usaha untuk menggantikan Khalid, tidak akan meretakkan gabungan itu.

Walaupun forum-forum yang diadakan dalam tempoh dua hari lalu menyaksikan penceramah yang terdiri daripada penganalisis politik hingga kepada ahli-ahli politik, jelas mahu Khalid berundur, tetapi para pemimpin tinggi PAS telah menyatakan sokongan mereka kepada menteri besar Selangor itu.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah menyatakan
sokongannya kepada Khalid manakala PAS Mursyidul Am Nik, Datuk  Abdul Aziz Nik Mat telah mempersoalkan keperluan untuk menukar ketua kerajaan negeri Selangor.

Dan dengan Nik Aziz, yang semalam mengulangi bahawa Khalid tidak perlu diganti, maka PAS mungkin berdiri teguh di belakang menteri besar Selangor itu.
     
Kumpulan konservatif dalam parti Islam itu dikatakan berkeras bahawa wanita tidak boleh memegang jawatan menteri besar.

Jika PAS memutuskan untuk bersama Khalid dalam berdepan dengan DAP dan PKR, maka soalan yang lebih besar ialah mengenai nasib gabungan Pakatan Rakyat.

PAS mempunyai 15 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan DAP 15 kerusi dan PKR 14 kerusi. Umno pula mempunyai 12 kerusi. DUN Selangor mempunyai 56 kerusi.

Khalid, yang diberikan surat tunjuk sebab oleh PKR dua hari lepas kerana "mengengkari keputusan parti" supaya meletak jawatan, enggan menjawab pertuduhan itu kerana mendakwa notis itu "cacat".

Khalid juga bertegaskan bahawa beliau telah dilantik mengikut perlembagaan negeri, dan mengikut perlembagaan, beliau masih menerima keyakinan majoriti di dewan undangan negeri.

Sama ada beliau akhirnya akan berundur atau tidak, Khalid berkata, ia bergantung kepada keputusan bersama majlis kepimpinan Pakatan Rakyat, yang dijangka akan dibuat beberapa hari lagi.

Pakatan dikatakan akan mengadakan mesyuarat pada malam 10 Ogos ini tetapi ianya masih belum disahkan.

Tiada ulasan: