MALAYSIAKINI
Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini melepas tanpa
membebaskan bekas Ketua PKR cabang Rembau Badrul Hisham Shaharin atau
dikenali sebagai 'Chegubard' daripada tuduhan menganjurkan perhimpunan
program penghargaan kepada pengundi negeri Selangor, tahun lepas.
Hakim Yasmin Abdul Razak membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan
Timbalan Pendakwa Raya Tan Gin Han dan peguam Michelle Yesudas yang
mewakili tertuduh.
Terdahulu, dalam prosiding hari ini yang ditetapkan untuk sebutan kes
itu, Tan memohon mahkamah menetapkan tarikh baru sementara menunggu
keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung rayuan keputusan
Mahkamah Rayuan, yang menggugurkan pertuduhan ke atas Anggota Dewan
Undangan Negeri Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad kerana menganjurkan
perhimpunan Blackout 505 di Stadium Kelana Jaya pada 8 Mei tahun lepas.
Bagaimanapun Michelle yang mewakili Badrul Hisham membantah permohonan
pendakwaan dan berhujah bahawa keputusan rayuan kes Nik Nazmi di
Mahkamah Persekutuan masih belum mempunyai tarikh dan pertuduhan
terhadap anak guamnya akan berlanjutan sehingga kes Nik Nazmi selesai.
Badrul Hisham, 35, yang juga pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia,
sebagai penganjur perhimpunan program itu didakwa gagal memberitahu
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya mengenai program berkenaan dalam tempoh
masa ditetapkan iaitu 10 hari sebelum tarikh program diadakan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Dataran Petaling Jaya, Padang
Timur, Jalan Timur, di Petaling Jaya pada 5 petang, 25 Mei tahun lepas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012, yang
boleh dihukum mengikut Seksyen 9(5) akta sama, yang membawa hukuman
denda tidak melebihi RM10,000 jika sabit kesalahan.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan