MALAYAIAKINI
Bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dijangka
akan dihadapkan ke mahkamah dengan pertuduhan fitnah jenayah pada hari
Isnin.
Beliau merupakan antara beberapa pemimpin Pakatan yang menghadapi tuduhan jenayah sejak pilihan raya umum ke-13.
Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dalam kenyataannya berkata Nizar akan
diheret ke mahkamah atas kenyataannya berhubung Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak dalam satu forum pada 2011.
"Jika perdana menteri berasa Nizar memfitnahnya, Najib patut mengupah
peguam untuk menyaman (Nizar) untuk gantirugi, bukannya menggunakan
badan kehakiman untuk menganiaya pemimpin pembangkang,” katanya.
Tambahnya, tuduhan fitnah jenayah juga amat jarang digunakan dan akan
menjejaskan imej Najib sebagai pemimpin yang berjanji untuk melaksana
dasar demokratik.
Ketika dihubungi, Nizar mengesahkan bahawa beliau akan dituduh mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
“Isnin, 9 pagi di Mahkamah Sesyen Ipoh untuk pertuduhan,” katanya dalam satu kiriman SMS kepada Malysiakini.
Nizar, yang juga ketua pembangkang Perak, berdepan hukuman penjara
sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya jika didapati bersalah.
Sekiranya disabit kesalahan atau dipenjara sekurang-kurangnya sebulan
atau dendan RM2,000 atau lebih, Nizar yang juga ADUN Changkat Jering
akan gugur kelayakan sebagai ADUN.
Nga meminta para penyokong memakai pakaian berwarna hitam pada hari Isnin sebagai tanda protes.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan