Khamis, 14 Ogos 2014

Azizah mohon jumpa Sultan dengan sokongan dua ADUN PAS, 28 ADUN PKR, DAP

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
 
SUBANG JAYA: Berbekal sokongan tambahan dua ADUN PAS, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini mengisytiharkan beliau mempunyai sokongan majoriti dalam DUN untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.
 
Sokongan bertulis daripada ADUN Hulu Kelang Saari Sungib dan Hasnul Baharuddin (Morib) daripada PAS, 13 ADUN PKR dan 15 DAP memberikan Wan Azizah sokongan 30 daripada 56 wakil rakyat di DUN Selangor.
 
Kesemua mereka hadir pada sidang media di mana Wan Azizah mengumumkan beliau sudah memohon perkenan untuk berjumpa dengan Sultan Selangor bagi menyampaikan bukti sokongan majoriti itu dalam bentuk surat akuan bersumpah.
 
"Mereka telah membuat pendirian 'untuk sokong saya menerusi akuan bersumpah' yang ditandatangani oleh semua 30 ADUN yang hadir di sini sekarang untuk mempamerkan sokongan terbuka mereka," kata Wan Azizah yang juga Presiden PKR.
 
"Dengan perkembangan ini kami yang hadir sahkan bahawa kami ada majoriti dalam DUN sekurang-kurangnya sebanyak empat orang ahli berbanding satu ahli bebas, 12 Umno dan 13 PAS yang masih belum nyatakan sokongan secara terbuka," katanya.
 
Hadir sama pada sidang akhbar itu suami Azizah, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng serta bapanya yang juga penasihat parti Lim Kit Siang.  
 
"Saya sudah utuskan surat kepada Sultan pada jam 11 pagi ini untuk minta menghadap dan mempersembahkan sokongan majoriti kepada Sultan seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang tubuh negeri,” kata Wan Azizah.
 
"Saya juga memohon untuk mendapatkan pandangan Sultan sekiranya ada keperluan tuan Speaker memanggil sidang dewan negeri untuk bincang hal pertukaran MB," kata Azizah lagi.
 
Justeru beliau berharap Khalid akur dengan sokongan majoriti yang diperolehinya hari ini dan berundur.
 
"Saya menasihati Khalid menghormati undang-undang dan prinsip demokrasi (dan) segera letakkan jawatan sebab beliau dah hilang sokongan. Bagi memudahkan proses peralihan kuasa (berlangsung).
 
"Keutamaan saya mengembalikan pentadbiran Selangor kepada Pakatan agar perancangan dan dasar Pakatan dapat dilaksankan dengan cepat dan berkesan.
 
"Saya menyeru ADUN Pakatan yang lain membuat sokongan secara terbuka mempertimbangkan keperluan mendesak ini untuk mengembalikan urusan pentabiran kerajaan negeri seperi biasa," katanya.
 
Khalid sebelum ini mengharapkan sokongan bulat ADUN PAS (15) dan Umno (12) untuk mengisytiharkan diri beliau sebagai MB yang masih mempunyai majoriti dalam DUN Selangor. 
 
Jawatakuasa Pusat PAS hanya akan membuat ketetapan muktamad sama ada menyokong Khalid pada Ahad ini. Khalid dipecat daripada PKR namun enggan berundur sebagai MB setelah mendapat sokongan pimpinan teratas PAS termasuk Majlis Syuranya.
 
PKR merumuskan Khalid tidak lagi berwibawa untuk menjadi MB setelah didakwa terbabit dalam urusan yang meragukan dalam pemberian projek dan penyelesaian hutangnya dengan Bank Islam.
 
Pimpinan PAS menolak tuduhan PKR dan mendakwa Khalid bebas skandal dan anti-rasuah, sekali gus mencetuskan krisis paling teruk dalam Pakatan Rakyat sejak ia ditubuhkan pada tahun 2008.

Tiada ulasan: