Jumaat, 15 Ogos 2014

Apakah MB Selangor masih ada legitimasi?


Oleh Mohammad Agus Yusoff


Mohammad Agus Yusoff
Politik Selangor mencipta sejarah kerana buat kali pertamanya seorang Adun Bebas menjadi menteri besar. Maka, persoalannya, apakah beliau mempunyai legitimasi untuk kekal sebagai MB?

Dari segi undang-undang, jawapannya ya. Beliau masih mendapat perkenan Sultan Selangor, mempunyai empat exco untuk membolehkan kerajaan berfungsi dan belum ada undi tidak percaya yang dibuat ke atas beliau di Dewan.

Namun, dari segi moral politiknya, legitimasi MB tersebut hilang. Apatah lagi, pagi 14 Ogos, 2014, Presiden Pakatan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan beliau mempunyai sokongan majoriti 30 ahli Dewan daripada 56 semuanya.


Justeru PR mendapat sokongan majoriti, maka mesyuarat PAS pada 17 Ogos nanti sudah tidak relevan lagi dalam menentukan siapa dan parti mana yang mendapat sokongan majoriti di Dewan.

Yang relevannya mesyuarat PAS pada 17 Ogos nanti ialah untuk menentukan pendiriannya sama ada mahu terus kekal dalam PR atau bergabung dengan Barisan Nasional atau bersendirian dalam politik negara.

Apa Seterusnya?

Bagi membuktikan PR mendapat sokongan majoriti ahli Dewan, maka PR hendaklah memohon perkenan tuanku untuk mengadap bagi membuktikan hal ini.

Jika ini tidak berlaku, maka cara lain yang boleh dibuat ialah dengan MB menasihati tuanku untuk membubarkan Dewan atau Speaker mendapat perkenan tuanku untuk mengadakan sidang khas Dewan bagi menentukan sokongan majoriti ahli Dewan.

Kemelut apapun tentang hal ini, konflik politik Selangor ini perlulah diatasi kerana dalam sistem demokrasi moden, falsafahnya ialah sesebuah kerajaan itu perlu mempunyai legitimasi rakyat dan undang-undang.

Sama ada cara penyelesaiannya adalah dengan mengadakan pilihan raya atau menamakan MB pengganti yang baru, itu bukan isu utamanya. Isu utamanya ialah MB Selangor perlu mempunyai legitimasi jelas dan konflik politik Selangor ini perlu diselesaikan.

Jangan biarkan rakyat gelisah!

*Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff merupakan penyarah sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tiada ulasan: