Jumaat, 15 Ogos 2014

Apakah Anwar akan akur desakan Hadi?

MALAYSIAKINI


 


Selain peranan istana, krisis Selangor berlanjutan akibat kegagalan PAS dan PKR memutuskan calon menteri besar pengganti Khalid Ibrahim.

Malam tadi, PAS secara terbuka menolak Dr Wan Azizah Ismail sebagai calon menteri besar tetapi PKR terus berdegil untuk memajukan nama presidennya.

Pertemuan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim di Kuala Terengganu awal minggu gagal angkara tiada persetujuan bersama antara dua parti utama Pakatan Rakyat ini.

Anwar, bersama Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, berkeras inginkan Wan Azizah tetapi PAS pula menggesa parti itu mencadangkan dua nama lain selain presiden PKR kepada pihak Istana.

Bagi PAS, sikap Anwar dan Saifuddin ini sejenis “kata dua” yang mematikan rundingan dan pilihan dalam kerjasama Pakatan Rakyat.

Maka, tersebarlah desas-desus bahawa Abdul Hadi hanya bertemu Anwar selama 15 minit, bukannya sejam seperti diuar-uarkan, kerana tidak senang dengan kedegilan PKR.

Alasan sebenar PAS menolak Wan Azizah tidak dapat dipastikan. Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali malam tadi berkata ia bukan kerana Wan Azizah seorang wanita.

Namun, PAS juga dilaporkan berkata ia difahamkan Sultan Selangor tidak memperkenankan Wan Azizah.

Tetapi kini Wan Azizah berjaya menampilkan majoriti mudah apabila mendapat sokongan dua wakil rakyat PAS semalam, Hasnul Baharuddin (Morib) dan Saari Sungib (Hulu Kelang).

Dengan sokongan itu, beliau mendapat 30 sokongan dalam 56 wakil rakyat negeri itu.

'Curi' dua ADUN PAS

Namun, sokongan dua wakil rakyat PAS membawa implikasi lain. Di sisi PAS, dua wakil rakyat ini terang-terangan melanggar keputusan Majlis Syura dan kenyataan Abdul Hadi yang inginkan semua pemimpin parti menyokong Khalid.

Di sisi lain, PAS tentunya sangat tidak selesa dengan tindakan PKR “mencuri” dua wakil rakyatnya demi mempertahankan pendirian bahawa Azizah satu-satunya calon PKR untuk menteri besar.

Beberapa jam selepas pengumuman sokongan itu oleh Wan Azizah, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub mengeluarkan kenyataan panjang – sebahagian bernada menyindir PKR dan Anwar.

Salahuddin mengingatkan bahawa Mursyidul Amnya Datuk Nik Aziz Nik Mat segera melucutkan jawatan menantunya dalam syarikat utama Kelantan kerana ada tohmahan “kronisme dan nepotisme.”

Walaupun tidak begitu ketara, selain dua perkataan itu, Salahuddin turut menyebut “pemujaan individu dalam parti” dan “sikap autokratik” – ungkapan-ungkapan yang selalunya dijadikan kritikan terhadap Anwar, termasuk mencalonkan Wan Azizah sebagai MB.

Salahuddin mengingatkan sejarah kejatuhan kerajaan PAS Kelantan dulu apabila “isu kronisme, nepotisme dan sikap autokratik” menguasai parti dan kepemimpinan negeri itu.

Beliau juga menggesa sikap kerjasama, rundingan dan persetujuan bersama – seolah-olah menjawab “kata dua” PKR yang mahukan hanya Wan Azizah.

“Sebegitu juga kita dalam proses memilih menteri besar. Perlu dihalusi bersama, perlu diskusi bersama dan perlu persetujuan bersama. Janganlah ada di kalangan kita mengambil pendekatan ‘pushing down into our throats'!

PKR berdegil

“Sekurang-kurangnya ada pilihan, agar yang terbaik diberi berkhidmat kepada rakyat,” tegasnya.

PAS hairan kenapa PKR berdegil untuk menaikkan Wan Azizah sewaktu partinya hanya meminta nama lain dicadangkan bersama presiden PKR.

“PAS boleh bersetuju untuk menyerahkan tiga nama, semua daripada PKR, termasuk Wan Azizah. PKR menolaknya mentah-mentah, siap ugut PAS lagi. PKR tetap mahu satu nama sahaja,” satu sumber parti itu memberitahu Malaysiakini hari ini.

Berdasarkan senario ini, apakah PAS akan tunduk pada desakan PKR? Atau, Anwar akan tunduk pada tuntutan Hadi jika PAS masih mahukan dua nama lain?

Sekiranya mesyuarat PAS pada Ahad ini bersetuju dengan desakan PKR, menamakan Wan Azizah sebagai satu-satunya calon menteri besar, apakah Istana bersedia menerimanya?

Jika Istana menolak Wan Azizah, seperti ramalan PAS, apakah PKR bersedia menamakan calon lain seperti permintaan PAS?

Walaupun Pakatan menguasai dua pertiga jumlah kerusi, krisis Selangor akan terus berpanjangan jika tiada persepakatan antara Hadi dan Anwar siapa calon terbaik pengganti Khalid.

Isunya kini, bukan PKR melawan Khalid tetapi pergeseran antara parti itu dengan PAS.

Tiada ulasan: