Rabu, 6 Ogos 2014

Apa fatwa bagi hubungan dagang M'sia-Israel?

MALAYSIAKINI


 


ULASAN Palestin mula menjadi perhatian antarabangsa apabila kerajaan Britain pada 2 April 1947 mendesak supaya isu Yahudi dan Palestin dimasukkan sebagai agenda Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tidak lama selepas itu, sebuah jawatankuasa antarabangsa telah ditubuhkan untuk mengkaji dan membuat laporan mengenai isu Palestin.

Penubuhan jawatankuasa ini berakhir dengan pembahagian wilayah Palestin kepada negara Arab dan negara Yahudi yang merdeka, sementara Baitulmaqdis diletakkan bawah tanggungjawab antarabangsa.

Jelas sekali bahawa PBB tidak boleh diharap dalam menyelesaikan isu Palestin.

Penderitaan yang dialami oleh penduduk Palestin hingga kini masih belum berakhir bahkan semakin teruk walaupun beberapa perjanjian damai, persidangan, perundingan semuanya menemui kegagalan.

Dan rakyat Palestin memilih jalan lain, iaitu dengan penentangan dan perjuangan jihad bagi membebaskan tanah air mereka yang dijajah secara rakus oleh Yahudi Zionis.

Umat islam dunia harus sedar bahawa setiap inci tanah Palestin adalah milik mereka setelah ia diwakafkan oleh Saidina Umar Al-Khattab sejak dahulu lagi dan tiada hak bagi Yahudi mendiami Palestin walaupun sejengkal.

Fatwa 63 ulama

Ulama Islam telah mengeluarkan fatwa yang jelas bahawa keseluruhan tanah air Palestin hanyalah untuk umat Islam sebagaimana termaktub dalam fatwa ulama-ulama antaranya fatwa Kesatuan Ulama Dunia yang diadakan di India pada tahun 1935, fatwa ulama Iraq pada tahun 1937 dan fatwa ulama Al-Azhar pada tahun 1947.

Kebanyakan fatwa yang masih dipegang oleh seluruh ulama dunia sehingga ke hari ini ialah fatwa yang dikeluarkan pada tahun 1988 dan ditandatangani oleh 63 orang ulama seluruh dunia.

Ia antaranya dipersetujui oleh Dr Najmudin Arbakan, Syeikh Mustafa Mashur, Dr Yusof Al-Qaradhawi, Qadhi Husain Ahmad, Rashid Ghanushi, Dr Fathi Yakan, Syeikh Mohammad Al-Ghazali dan Dr Wahbah Al-Zuhaili.

Fatwa itu menegaskan:

“Jihad (dengan senjata) adalah cara kita (umat Islam) berdepan dengan Yahudi untuk membebaskan Palestin. Haram sama sekali memberi hak walau satu inci sahaja daripada tanah Palestin kepada Yahudi.

“Begitu juga haram bagi orang perseorangan atau mana-mana institusi atau kerajaan yang membenarkan Yahudi menjajah bumi Palestin.”

Fatwa ini perlu disambut oleh seluruh institusi fatwa dunia termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan di Malaysia selain umat Islam wajib membuat pemulauan segala barangan Yahudi zionis.

Kaedah pemulauan adalah cara berkesan yang dilakukan Rasulullah SAW ketika baginda mentadbir Madinah.

Rasulullah boikot pasar Yahudi

Baginda SAW mengarahkan umat Islam agar membina pasar sendiri dan bekerja dengan gigih serta meninggalkan pasar Qainuqa’ yang dimonopoli oleh kaum Yahudi pada masa itu.

Tekanan yang sama perlu dimainkan oleh seluruh umat Islam dunia bahkan menjadi kewajipan para ulama, mufti mengeluarkan kenyataan rasmi memulau barangan mereka dengan disenaraikan secara rasmi barangan tersebut setelah disahkan oleh pihak berkaitan.

Kerajaan Malaysia juga perlu memutuskan dengan kadar segera hubungan dagang dengan Yahudi Israel walau dalam apa jua bentuk sekalipun.

Hentikan segera pelaburan atau penjualan minyak sawit kepada mereka kalau benar kerajaan Malaysia ikhlas ingin membantu Gaza.

Kami menuntut kerajaan Malaysia jangan hanya pandai menyalurkan sumbangan kepada rakyat Gaza dalam masa yang sama terus melantik perunding yang didalangi Israel sebagai penasihat kerajaan.

Kenyataan menteri perdagangan antarabangsa dan industri beberapa hari lepas yang menyatakan kerajaan perlu mengkaji untuk memutuskan hubungan dagang adalah tidak tepat dalam situasi dunia menyaksikan kekejaman Yahudi Zionis ke atas umat Islam Gaza.

Kalau Britain RedRat boleh umumkan secara rasmi penamatan kontrak mereka dengan Israel kenapa tidak kita Malaysia!


MOHD ASRI MAT DAUD adalah naib ketua Pemuda PAS Kelantan.

Tiada ulasan: