Sabtu, 2 Ogos 2014

Air di Selangor tidak akan dicatu, kata Menteri Besar Selangor

Oleh Wan Anis Ilyani W. M. Azhar

 
Post Pic

 
 
SHAH ALAM: Tiada sebarang catuan air akan dilakukan di Selangor memandangkan paras air mentah di empangan dan kawasan lembah meningkat, menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
 
"Tiada sebarang catuan akan dibuat ketika ini. Beberapa hari lepas kita telah buat pembenihan awan dan berjaya meningkatkan paras air mentah," katanya melalui satu kenyataan media semalam.
 
Beliau menafikan dakwaan kononnya paras air di beberapa empangan di negeri itu masih di bawah paras minimum dan membimbangkan.
 
Ujar Khalid kerajaan negeri mempunyai beberapa pilihan lain termasuk menggunakan air daripada kolam-kolam sedia ada bagi memastikan bekalan air mencukupi sehingga bulan November yang dijangka bermulanya musim tengkujuh.
 
"Jadi kita tidak ingin buat catuan sebab kalau program penjagaan air mentah ini dapat dilakukan dan Insya-Allah dapat diteruskan sehingga bulan November, perkara ini (bekalan air) tidak jadi masalah," katanya.
 
Semalam Khalid mengikat perjanjian induk mengenai penstrukturan air dengan Putrajaya yang menurut beliau, memberi jaminan kadar tarif air di Lembah Klang tidak akan dinaikkan untuk sehingga empat tahun akan datang.
 
Perjanjian Dasar Induk itu ditandatangani oleh Khalid sungguhpun ia ditolak oleh PKR yang menganggapnya sebagai berat sebelah kepada Putrajaya sehingga memberikannya kuasa luas dalam pengurusan industri air Selangor.  
    
Perjanjian tersebut bermakna kerajaan negeri Selangor terikat kepada syarat-syarat yang termaktub di dalamnya sekali pun Khalid ditukar sebagai Menteri Besar Selangor - sebagaimana yang dituntut oleh PKR. 
 
Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli sebelum ini berkata pihaknya bercadang mengkaji semula perjanjian air yang dimeterai oleh Khalid dengan Putrajaya dan tidak mahu beliau menandatangani Perjanjian Dasar Induk yang menyusul hari ini. 
 
Bagaimanapun Khalid menyanggah desakan itu dan mengikat perjanjian itu dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Tiada ulasan: