Ahad, 31 Mac 2013

Umno lebih Islam dari PAS?

Untuk memikat para pengudi menjelang PRU13, Umno dan PAS masing-masing mahu menonjolkan diri sebagai juara dalam mendaulatkan Islam.



Hari demi hari kita semakin hampir dengan tarikh pilihan raya umum (PRU) ke 13 namun sehingga hari ini kita belum tahu bilakah sebenarnya tarikh tersebut walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan telah terbubar secara otomatik sejak 28 Mac lalu.

Untuk memikat para pengundi terutama di kalangan pengundi Melayu yang beragama Islam, parti-parti politik atau lebih tepat lagi, PAS dan Umno, masing-masing mahu menonjolkan diri sebagai juara dalam memperjuang syiar dan memartabatkan Islam.

PAS, namanya sahaja (Parti Islam Semalaysia) sudah meletakkan asas perjuangannya untuk mendaulatkan Islam manakala Umno, walaupun sebuah parti yang berteraskan kaum Melayu, juga tidak mahu ketinggalan dalam usahanya untuk mendaulatkan Islam.

Sebab itu kita sering mendengar komen seperti “Umno juga memperjuangkan Islam” dan malahan banyak program untuk meninggikan syiar Islam dilaksanakan oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional berbanding PAS.

Salah satu isu kontroversial yang diketengahkan akhir-akhir ini ialah isu kalimah Allah. Timbul polemik apabila pihak gereja mahu menggunakan kalimah “Allah” dengan menggantikan perkataan “Tuhan” dalam kitab Bible.

Isu ini diulang tayang berkali-kali dan disiarkan oleh media arus perdana dan juga media alternatif sejak beberapa bulan yang lalu dan isu ini dianggap sesuatu

yang sensitif dan kini bertukar menjadi isu politik, terutama di antara PAS dan Umno.

Isu kalimah Allah membuat umat Melayu-Islam di negara ini menjadi keliru dan bingong, sama ada anggota masyarakat bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah dalam kitab dan literatur mereka.

Persoalan juga timbul sama ada kaliman Allah adalah hak mutlak umat Islam manakala perkataan Tuhan boleh digunakan oleh penganut agama lain dan non-Muslim.

Para pemimpin Umno agak konsisten tentang pendirian mereka terhadap penggunaan kalimah Allah kerana mereka tetap mengatakan kalimah Allah adalah hak mutlak umat Islam sahaja dan tidak boleh digunakan oleh bukan Islam.

Namun para pemimpin PAS pada peringkat awal tidak konsisten dalam isu ini sehinggalah Majlis Syura Ulama parti itu menetapkan keputusan bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh umat Islam sahaja.

Penduduk Mekah

Tetapi apabila dikaji tentang perkara ini dengan meneliti beberapa ayat Al Quran kita mendapati bahawa non-Muslim atau orang-orang musyrik Mekah pada zaman Rasulullah SAW pernah menggunakan perkataan Allah dalam perbualan dan dialog mereka dengan umat Islam.

Dalam ayat 3, Surah Az-Zumar, firman Allah bermaksud: “Ingatlah (hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik).  Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong, sambil berkata: “Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sedamping-dampingnya.”

“Sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan) lagi sentiasa kufur dengan melakukan syirik. (Tafsir Pimpinan Ar-Rahman terbitan Jabatan Perdana Menteri, tahun 1980.)

Dalam ayat ini, orang-orang musyrik menyebut “kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sedamping-dampingnya.”

Ini bermaksud orang-orang musyrik (penduduk Mekah) juga menyembah Allah  dan patung-patung berhala itu dianggap sebagai perantara sahaja.

Tetapi yang dilarang di sini ialah menyengutu dan menyamakan Allah dengan sebarang bentuk pemujaan yang bersifat objek di mana berlakunya satu perbuatan syirik yang dilarang keras dalam Islam.

Keadaan ini diterangkan dalam akhir ayat itu: “Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta lagi sentiasa kufur dengan melakukan syirik.”

Sedangkan syirik atau menyengutukan Allah dengan sesuatu yang lain adalah merupakan satu kezaliman yang sangat besar, kata Lokman kepada anaknya seperti mana yang diungkapkan dalam Al Quran.

Al Quran juga menyentuh tentang sikap orang-orang musyrik di kota Mekah yang menyembah berhala.  Apabila ditanya kepada mereka, siapakah yang menjadikan langit dan bumi nescaya mereka (orang-orang musyrik) akan menjawab “Allah”.

Berdasarkan hujah ini adalah tidak wajar untuk menyatakan bahawa non-Muslim tidak boleh menggunakan perkataan Allah dan tidak benar untuk mengatakan perkataan Allah adalah hak mutlak umat Islam sahaja.

Bermotif politik 

Kita yakin matlamat Umno yang berpendirian bahawa perkataan Allah hanya boleh digunakan oleh umat Islam sahaja bermotifkan politik kerana Umno sering mempolitikkan agama untuk mencapai tujuan mereka.

Umno cuba menyakinkan rakyat bahawa merekalah yang sebenarnya memperjuangkan kedaulatan Islam dan bukan PAS, walaupun sejarah membuktikan Umnolah yang meminggir dan menghina Islam.

Umno juga mempolitikkan agama apabila bercadang untuk meletakkan calon PRU13 di kalangan ulama muda yang bertujuan untuk menyaingi kekuatan pimpinan ulama dalam PAS. Umno juga mahu dilihat sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam walaupun mereka tidak yakin Islam itu sebagai satu cara hidup (ad-deen).

Tetapi Umno tidak serius untuk meniupkan roh Islam dalam pentadbirannya.  Buktinya ulama-ulama Umno tidak diberi jawatan penting dalam kerajaan dan pembuat keputusan tetapi sebaliknya mereka sering dipinggirkan dan akhirnya peranan mereka hilang ditiup angin.

Sikap Umno yang memilih dan mengambil sesuatu hukum dan menolak hukum yang lain dalam Islam menyerlahkan sikap hipokrit mereka dan sikap ini menyerupai sikap kaum Yahudi terhadap agama mereka.

Kedurjanaan kaum Yahudi sejak sebelum kedatangan Islam sehingga dilaknat oleh Allah ialah kerana perbuatan mereka yang mengubah isi kitab dan membunuh para nabi dari kalangan mereka sendiri. Inilah dosa besar yang dilakukan kaum Yahudi yang dikisahkan dalam Al Quran.

Jika benar Umno mahu menjadi juara yang mendaulatkan Islam maka mereka harus menerima Islam secara keseluruhan dan melaksanakannya dalam segenap aspek kehidupan bermasyarakat.

Umno hendaklah mengambil Islam dan melaksanakannya secara keseluruhannya. Tidak boleh memilih-milih, ayat mana yang boleh dipakai dan ayat mana yang tidak boleh dipakai serta tidak memberi alasan untuk tidak melaksanakannya.

Firman Allah dalam ayat 208, Surah Al Baqarah: “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.”

Banyak bukti dan peristiwa yang menunjukkan Umno bukanlah pembela Islam yang sebenarnya dan jika dihuraikan satu persatu kedurjanaan Umno dalam meminggirkan Islam maka tulisan ini akan menjadi panjang.

Tiada ulasan: